Premis pamer hiasan haiwan dilindungi diserbu

Premis pamer hiasan haiwan dilindungi diserbu


rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebuah premis mempamerkan pelbagai barangan hiasan yang diperbuat menggunakan bahagian badan haiwan liar dilindungi, diserbu pihak berkuasa, Sabtu lalu.

Serbuan terhadap premis terletak di pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor, itu dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan kerjasama Cawangan Risik Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dilakukan 3.30 petang,

“Seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun dipercayai pemilik premis ditahan selepas gagal mengemukakan dokumentasi, permit dan lesen berkaitan bahagian hidupan liar yang berada di premis itu.

“Pasukan merampas seutas rantai, dua unit perhiasan patung dan masing-masing tiga unit hulu parang serta ukiran disyaki mengandungi bahagian hidupan liar.

“Turut dirampas satu taring, dua tanduk dan dua unit ‘carrier’ dihiasi bahagian hidupan liar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua sitaan itu dianggarkan bernilai RM89,000.

Menurut Abdul Kadir, lelaki yang ditahan dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Pihaknya turut mengingatkan bahawa mana-mana individu terbabit dalam sebarang aktiviti pemburuan haram, pemilikan, pemindahan atau pemerdagangan hidupan liar secara tidak sah adalah satu kesalahan serius.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Perhilitan di talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top