hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tawar khidmat seks pada waktu pejabat buat lelaki warga asing. Itu kegiatan premis pelacuran di Jalan Tun Tan Siew Sin, di sini yang dikesan menyediakan wanita warga asing kepada pelanggan dengan bayaran serendah RM50.
Premis beroperasi dari 8 pagi sehingga 5 petang di tingkat atas rumah kedai turut dikawal rapi oleh ‘kapten’ bangunan.
Seorang wanita warga Indonesia mahu dikenali Atika, 31, yang ditemui ketika serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini mengaku dia masuk ke negara ini bulan lalu menggunakan pas lawatan sosial sebelum bekerja di premis berkenaan.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai pembantu pejabat di negara asal, namun gaji diterima amat rendah, jadi saya memilih ke sini, kerja ini dengan pendapatan lebih tinggi.
“Pelanggan yang datang ke sini akan dikenakan bayaran RM50, saya mampu meraih pendapatan sehingga RM3,000 sebulan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya menjalankan operasi di sekitar Kuala Lumpur bermula 3 petang, dengan menyerbu dua premis pelacuran disyaki menggaji wanita warga asing.
“Hasil serbuan, seramai 25 warga asing termasuk 14 wanita dan tiga warga tempatan berusia antara 20 hingga 61 tahun ditahan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada lapan warga Indonesia; Bangladesh (15) dan India (1). Turut ditahan adalah dua lelaki tempatan bekerja sebagai penjaga premis,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d), Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
© New Straits Times Press (M) Bhd