PRESIDEN Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2025-2029.
Tegas Sumali, tujuan dan misinya tetap sama iaitu untuk membantu badan induk olimpik negara itu memajukan sukan tanah air.
“Setelah pengesahan tiga penyandang sebelum ini tidak bertanding untuk mempertahankan jawatan naib presiden, barulah tergerak hati saya untuk menawarkan diri bertanding selain sokongan kuat dalam kalangan ahli keluarga PSM sendiri,” kata anak kelahiran Johor berkenaan.
Sebagai rekod, Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PERSEWIP) bukan nama asing dalam komuniti sepak takraw negara apabila menjadi watak penting menyalakan semula aura sukan tradisi negara yang melalui fasa turun naik sebelum ini.
Malah beliau yang mengisi kekosongan dilepaskan Datuk Seri Ahmad Ismail, pada 5 Jun 2022, bersama barisan kepimpinan baharu PSM tidak menunggu lama menghasilkan impak apabila pasukan negara mengungguli acara double dan regu Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Selepas kejayaan sebagai tuan rumah penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia 2024, Sumali dan barisan kepimpinan PSM tampil menyahut cabaran menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia di venue sama pada Mei depan.
Bagi melicinkan program pembangunan pelapis, PSM juga berjaya mendapatkan Stadium Jalan Raja Muda untuk dijadikan sebagai Akademi Sepak Takraw Malaysia (ASTM).
Satu lagi impian besar keluarga PSM yang bakal direalisasikan minggu depan adalah pelancaran Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP) iaitu inisiatif mencungkil bakat-bakat baharu dan membawa kegemilangan kepada negara.
Pencapaian dibarakan Sumali itu juga turut menyaksikan beliau dikaitkan untuk mengetuai badan induk Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) pada pemilihan akan datang.
Transformasi sukan sepak takraw yang ditampilkan Sumali cukup luar biasa sekali gus menyaksikan Presiden PSM dilihat calon popular mengisi jawatan Naib Presiden MOM kali ini.
Pemilihan Ahli Lembaga Eksekutif MOM Penggal 2025-2029 dijadual berlangsung pada 19 April ini di sebuah hotel terkemuka ibu negara.
OR