July 18, 2024

Prestasi JDT meningkat dalam perlawanan menentang Malaysian University

Prestasi JDT meningkat dalam perlawanan menentang Malaysian University


ISKANDAR PUTERI- Perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Malaysian University pada aksi kedua pusingan suku akhir Piala FA jelas mempamerkan peningkatan kemampuan pasukan ini, kata ketua jurulatih Hector Pablo Bidoglio.

Beliau berkata pasukan ini menunjukkan peningkatan dalam set pieces (gerak terancang) dan tempo permainan serta mengekalkan rentak dalam menghadapi serangan pihak lawan.

“Hari ini, prestasi JDT semakin baik, bermain dalam satu pasukan (dan) tidak bergantung kepada pemain tertentu. Kita mempunyai skuad dan pemain yang cemerlang tetapi paling penting bermain sebagai satu pasukan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

Bidoglio turut memuji penyerang muda JDT Mohd Arif Aiman ​​Mohd Hanapi yang memberikan aksi baik namun percaya masih ada ruang perlu diperbaiki.

“(Mohd) Arif (Aiman) pemain yang cemerlang dan banyak membantu pasukan (tetapi) masih perlu menyuntik lebih banyak keyakinan dalam aksi seterusnya. Saya suka Arif. Arif beraksi cemerlang hari ini dan saya tahu permainan Arif semakin baik dalam setiap perlawanan,” katanya.

Mengenai pertemuan akan datang antara JDT menentang Sabah dalam Liga Super, Bidoglio berkata anak didiknya bakal berdepan perlawanan sukar di padang Rhinos.

“Kita perlu mengekalkan rentak permainan yang sama seperti di gelanggang sendiri; kita perlu sentiasa fokus, kekal menjadi dinamik dan terajui perlawanan. Sabah bukanlah saingan yang mudah tetapi inilah  ruang untuk penambahbaikan,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Malaysian University Ridzuan Abu Shah berkata perlawanan menentang JDT menjadi pengalaman berharga untuk memperbaiki kelemahan pasukan dalam mendepani saingan liga M3 seterusnya.

“Kita mencuba tetapi kita tidak sampai ke tahap Liga Super. Peluang bermain dengan skuad utama JDT memberi peluang kita belajar daripada pasukan yang lebih baik,” katanya.

JDT melangkah ke saingan separuh akhir Piala FA dengan agregat 13-0 selepas membelasah Malaysian University 8-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim di sini semalam.

— BERNAMA

 

 



Source link

OR

Scroll to Top