PRESTASI pengadil sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2024–2025 disifatkan berada pada tahap cemerlang berbanding musim sebelumnya, menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, penilaian tersebut dibuat berdasarkan laporan lengkap daripada Penilai Pengadil (RA), aduan rasmi daripada pasukan bertanding serta analisis video perlawanan melibatkan aksi Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.
“Berdasarkan laporan Unit Pengadil FAM, prestasi pengadil Liga Malaysia musim 2024–2025 berada pada tahap cemerlang berbanding musim 2023–2024.
“Pada musim lalu, sebanyak 208 perlawanan menggunakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR). Daripada jumlah itu, FAM hanya menerima lima aduan rasmi daripada pasukan bertanding iaitu empat aduan perlawanan Liga Super dan satu aduan aksi Piala Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Sivasundaram, semua insiden dalam perlawanan yang menerima aduan telah disemak secara teliti oleh pasukan pengadil VAR, dengan tahap pematuhan kepada Protokol VAR berada pada tahap sangat baik.
“Daripada 208 perlawanan, pengadil VAR telah membuat sebanyak 1,255 semakan (tidak termasuk silent check). Daripada jumlah itu, sebanyak 101 semakan melibatkan On Field Review (OFR).
Beliau berkata, purata masa tambahan daripada semakan VAR adalah lebih rendah, iaitu 1.96 minit, berbanding purata masa tambahan daripada pengadil di padang permainan iaitu 4.70 minit.
“Ini bermakna penggunaan teknologi VAR tidak mengganggu kelancaran permainan. Analisis data juga menunjukkan sebanyak 647 gol dijaringkan sepanjang musim lalu, dan kesemua gol telah disemak oleh pengadil VAR sebelum disahkan,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa trend positif penggunaan VAR dapat dilihat dengan jelas melalui data penurunan jumlah aduan serta peningkatan ketepatan keputusan pengadil.
“Jumlah aduan rasmi berkurangan kepada hanya 2.24 peratus berbanding 4.15 peratus pada musim sebelumnya. Ketepatan keputusan pengadil pula meningkat kepada 98.07 peratus, berbanding 88.76 peratus pada musim 2023–2024,” katanya.
Sebagai rekod, FAM merupakan satu-satunya badan induk bola sepak di Asia Tenggara yang menggunakan teknologi VAR untuk kesemua perlawanan Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan dua aksi Piala Cabaran, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 208 perlawanan.