PRIME bawa solusi komunikasi moden ke seluruh negara

PRIME bawa solusi komunikasi moden ke seluruh negara


CYBERJAYA: Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melancarkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) sebagai inisiatif strategik untuk memperkukuh kesiapsiagaan komunikasi negara dalam menghadapi bencana dan kecemasan, terutamanya di kawasan tumpuan awam serta lokasi yang terputus capaian.

Majlis pelancaran rasmi disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya. 

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

PRIME adalah sistem berasaskan kenderaan yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi komunikasi termasuk satelit, rangkaian selular, radio dua hala, Wi-Fi dan dron. 

Gabungan teknologi ini membolehkan PRIME menyediakan liputan komunikasi yang stabil dan fleksibel dalam pelbagai situasi termasuk ketika gangguan infrastruktur berlaku akibat bencana alam seperti banjir atau gempa bumi.

Menurut Fahmi Fadzil, pelaksanaan PRIME adalah langkah penting untuk menjamin kelangsungan komunikasi di kawasan yang paling terkesan semasa krisis, sekali gus menyokong kecekapan operasi menyelamat, pengurusan bantuan serta penyampaian maklumat kepada orang awam secara pantas dan menyeluruh.

“Sistem ini bukan sahaja reaktif dalam menguruskan krisis, malah bersifat proaktif dalam memperkasa ekosistem komunikasi negara yang lebih tangkas, inklusif dan responsif,” katanya.

Menepati aspirasi digital negara

PRIME juga membawa aspirasi ‘Ketersambungan Tanpa Batasan’, seiring dengan matlamat memperkukuh ketahanan digital negara dan memastikan rakyat kekal dilindungi melalui akses komunikasi yang boleh dipercayai, khususnya dalam saat genting.

Sebagai tambahan kepada peranan utamanya dalam pengurusan kecemasan, PRIME turut berfungsi sebagai platform digital bergerak untuk melaksanakan program jangkauan komuniti seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI). 

Inisiatif ini membolehkan pelbagai aktiviti penerangan, perkhidmatan digital dan capaian internet dilaksanakan secara terus di lapangan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih berdepan jurang digital.

Buat permulaan, sebanyak tiga unit PRIME akan dibangunkan secara berfasa. Unit pertama yang dilancarkan hari ini akan beroperasi di Semenanjung Malaysia, manakala dua lagi unit akan ditempatkan di Sabah dan Sarawak menjelang akhir tahun ini. 

Penempatan ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan kesaksamaan dalam akses komunikasi tanpa mengira geografi.

Pelaksanaan sistem ini juga akan meningkatkan sinergi antara MCMC dan agensi-agensi strategik negara termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, sekali gus memperkukuh keberkesanan koordinasi semasa bencana secara holistik.

Dengan pelancaran PRIME, Malaysia berada di landasan yang lebih kukuh untuk berdepan cabaran bencana masa depan secara lebih berdaya tahan, berpaksikan teknologi dan berorientasikan rakyat.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top