Dua nama besar industri perfileman tanah air iaitu Primeworks Studios dan SKOP Productions mengejutkan pengguna media sosial apabila secara serentak menukar gambar profil akaun rasmi mereka.
Tindakan ini turut disertai barisan selebriti popular seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Syazwan Zukifly, Irfan Zaini, Andy Teh, Tracie Sinidol, dan Mikael Noah.
Ini sekali gus mencetuskan gelombang spekulasi dan tanda tanya dalam kalangan peminat serta pemerhati industri.
Perubahan serentak ini dilihat bukan sekadar gimik biasa, malah mengundang pelbagai tafsiran mengenai kemungkinan sebuah projek mega yang sedang dirancang.
Tidak ketinggalan pengarah profilik tanah air, Abhilash Chandra turut dalam senarai individu yang menukar gambar profil, menambahkan lagi elemen misteri dan menguatkan lagi spekulasi mengenai sebuah produksi bertaraf epik.
Peminat mula membuat andaian tentang kemungkinan sebuah filem aksi berskala besar yang bakal mencatat sejarah baru dalam industri perfileman tempatan atau mungkin kolaborasi luar biasa yang bakal mengubah landskap sinema negara.
Walau apa pun yang dirancang, setiap petunjuk dan perkembangan menjadi tumpuan peminat yang tidak mahu ketinggalan.
Bagi mereka yang ingin mengikuti perkembangan terkini mengenai misteri ini, ikuti akaun media sosial rasmi SKOP Productions dan Primeworks Studios.
© New Straits Times Press (M) Bhd