khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jemaah Menteri memutuskan untuk menyelaraskan kadar dan kaedah pelaksanaan kompaun bagi memastikan keseragaman dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya di seluruh negara pada Jumaat lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Jemaah Menteri memutuskan pemberian diskaun saman berasaskan program atau kempen khas akan digantikan dengan prinsip ‘The Less You Delay, The Less You Pay’ atau ‘Lebih Cepat Anda Bayar, Lebih Sedikit Anda Perlu Bayar’ bermula 1 Januari tahun depan.
“Hal ini kerana pemberian diskaun saman berasaskan program adalah tidak adil kepada golongan yang bertanggungjawab dan membayar saman mereka lebih awal.
“Berdasarkan prinsip ‘The Less You Delay, The Less You Pay’, kadar kompaun adalah lebih rendah sekiranya bayaran dibuat lebih awal.
“Pendekatan ini bertujuan memberi insentif kepada mereka yang bertanggungjawab menjelaskan saman dengan segera,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Hadir sama dalam sidang media, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
© New Straits Times Press (M) Bhd