yusri.muzamir@bh.com.my
Tapah: Sebanyak 93.4 peratus pengundi awal terdiri daripada polis dan pasangan menunaikan tanggungjawab bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning hari ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, menerusi kenyataan berkata proses berkenaan membabitkan 500 pengundi.
Beliau berkata, SPR mengucapkan tahniah kepada pegawai pengurus pilihan raya dan pasukan kerana menjalankan tanggungjawab yang amat baik, hari ini.
“(SPR juga) menghargai kerjasama diberikan Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Penerangan, pengamal media dan semua pihak terbabit secara langsung atau tidak,” katanya.
Proses pengundian awal bagi PRK DUN Ayer Kuning membabitkan dua pusat mengundi, masing-masing di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dan Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor.
Pusat mengundi di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan IPD Tapah beroperasi antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, manakala Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 PGA Bidor, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri; Abdul Muhaimin Malek mewakili Perikatan Nasional dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung selepas menyertai perlawanan bola persahabatan di Pulau Pinang, pada 22 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari sejurus proses penamaan calon pada 12 April lalu hingga jam 11.59 malam, Jumaat ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd