PRK Ayer Kuning: Biar SPR tentukan tarikh – Ahmad Zahid

PRK Ayer Kuning: Biar SPR tentukan tarikh – Ahmad Zahid


PETALING JAYA: Penentuan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepenuhnya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telahpun menghubungi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad agar memaklumkan kekosongan kerusi terbabit kepada SPR bagi menentukan tarikh sesuai untuk mengadakan PRK di kerusi berkenaan.

“Kami tidak berasa tergesa-gesa untuk melakukannya, namun oleh kerana bulan Ramadan terlalu hampir, tentunya kita mengharapkan tarikh yang akan dipilih oleh SPR ini satu tarikh yang dapat disesuaikan dengan keadaan bulan Ramadan.

“Jadi kita serahkan kepada Pengerusi SPR secara keseluruhannya untuk menentukan tarikh-tarikh yang bersesuaian untuk mengadakan PRK,” katanya.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, 59, disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang pukul 6.28 petang, Sabtu lalu akibat serangan jantung.

Beliau sebelum itu dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 5.20 petang ketika bersalaman dengan pemain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top