am@hmetro.com.my
Kinabatangan: Proses pengundian awal membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag berjalan lancar dan teratur.
Pengundian awal yang bermula seawal 8 pagi itu membabitkan 196 anggota polis serta pasangan mereka yang layak mengundi, di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan.
Ia satu-satunya pusat mengundi awal bagi PRK berkenaan dengan hanya satu saluran.
Tinjauan mendapati anggota keselamatan mula turun secara berperingkat ke pusat pengundian awal itu bermula 8 pagi untuk menunaikan tanggungjawab mengundi awal.
Cuaca cerah pagi ini membantu kelancaran proses pengundian awal itu.
Selain polis, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut berada di pusat pengundian itu bagi memastikan kelancaran dan pematuhan kepada semua prosedur pengundian yang ditetapkan.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Kurniawan Naim Moktar berdepan persaingan tiga penjuru antara Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (bebas).
Bagi kerusi DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob (BN) akan berdepan dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
SPR menetapkan proses pengundian awal hari ini, manakala hari mengundi pada 24 Januari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






