July 27, 2024

PRK KKB: 97 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab

PRK KKB: 97 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab


Hulu Selangor: Sebanyak 97 peratus atau 769 anggota polis, tentera dan pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, agensi itu merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukannya kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik.

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Penerangan, pengamal media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” menurutnya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Proses pengundian awal berlangsung di dua pusat mengundi iaitu di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri, Kem Erskine dan Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia, yang mempunyai tiga tempat mengundi atau saluran.

Kedua-dua pusat mula dibuka pada 8 pagi dan ditutup pada 5 petang.

PRK itu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi PRK DUN KKB.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top