PRK Mahkota: UMNO-BN tidak boleh angkuh, bongkak – Asyraf

PRK Mahkota: UMNO-BN tidak boleh angkuh, bongkak – Asyraf


KUALA LUMPUR – Kemenangan UMNO  dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tidak harus menjadikan parti itu angkuh dan bongkak.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebaliknya UMNO akan memastikan mandat rakyat itu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“UMNO perlu memastikan mandat yang diberikan rakyat itu dilaksana dengan sebaik mungkin, penuh tawaduk dan beramanah,” katanya pada sidang media di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, malam ini.

Pada 28 September lalu, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti besar selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.

Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 undi, berbanding Mohamad Haizan dengan 7,347 undi.

Menurut Asyraf, kemenangan itu memberi isyarat jelas bahawa rakyat menerima baik model kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Kemenangan itu membuktikan rakyat menerima prinsip kesederhanaan, toleransi, tidak ekstrem dalam memainkan sentimen agama mahupun bangsa yang boleh memudaratkan keharmonian rakyat berbilang kaum,” katanya.

Selain itu katanya, UMNO turut merakamkan penghargaan kepada pengundi DUN Mahkota atas kepercayaan yang dberikan kepada BN untuk memenangi kerusi tersebut dengan majoriti yang besar.

“UMNO juga merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera parti Kerajaan Perpaduan termasuk rakan parti komponen BN, Friends of BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Mereka bekerja kuat sebagai satu pasukan hingga berjaya meyakinkan pengundi di DUN Mahkota,” katanya.

Katanya lagi, mesyuarat MKT malam ini juga bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama dan gerak kerja dalam kalangan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.

“Ia akan dijadikan sebagai satu manifestasi keseriusan dan komitmen UMNO bagi memastikan kelangsungan kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakkuran negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette 



Source link

OR

Scroll to Top