am@hmetro.com.my
Gua Musang: Calon Bersatu mewakili Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri mengakui waktu tidurnya cukup singkat hanya dua hingga tiga jam sehari berikutan jadual hariannya yang begitu padat.
Mohd Rizwadi yang bertanding menggunakan logo Pas itu bagaimanapun terus bersemangat memandangkan penerimaan pengundi di setiap majlis yang dihadirinya cukup baik.
Katanya, tempoh berkempen kini berbaki enam hari lagi sebelum tiba hari pembuangan undi pada Sabtu ini dan beliau akan menggunakan masa yang ada sebaik mungkin.
“Sejak diumum menjadi calon PN, jadual saya sangat padat, tidur pastinya tidak cukup hanya dua hingga tiga jam sahaja.
“Namun situasi itu tidak pelik bagi saya kerana sepanjang berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), saya sudah biasa tidur hanya dua hingga tiga jam sahaja.
“Letih pun tidak mengapa kerana suasana seperti ini membuatkan saya lebih bersemangat. Setiap malam saya turun ceramah, ramai penduduk kampung yang hadir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum PRK Nenggiri di Unit Daerah Mengundi (UDM) Perasu, di sini, malam tadi.
Pada masa sama, Mohd Ridwadi mengulangi kenyataannya bahawa beliau mengambil keputusan untuk berhenti dari TLDM, bukannya dipecat.
“Ketika itu, tiga kali saya mohon untuk berhenti kerana bos tidak bagi. Bila bos tidak bagi mungkin kita ni seorang yang bagus la barangkali.
“Selepas secara rasmi tamat perkhidmatan, saya pulang ke kampung di Bertam Lama, di sini, sebelum terbabit dengan politik dan menjawat pelbagai jawatan. Jika pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, saya datang ke majlis sebagai penceramah, namun PRK kali ini saya adalah calon,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd