July 16, 2024

PRK Sungai Bakap: Jentera Amanah tumpu kawasan Sungai Duri

PRK Sungai Bakap: Jentera Amanah tumpu kawasan Sungai Duri


NIBONG TEBAL – Jentera Parti Amanah Negara (Amanah) memberi tumpuan pada kawasan Sungai Duri dalam membantu calon Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jentera Amanah mengambil pendekatan merayu undi dari rumah ke rumah, ceramah kelompok dan melaksanakan aktiviti bersama masyarakat.

“Setiap parti ada arahan masing-masing dalam membantu kempen calon (Dr. Joohari Ariffin) dan untuk Amanah kita fokus kawasan Sungai Duri berikutan ramai pengundi Melayu di sana.

“Setakat ini saya tidak boleh meramalkan lagi (kemenangan) kerana ini baru hari ketiga namun kita melihat respon yang baik dan sokongan orang ramai kepada calon PH,” katanya.

Terdahulu, Mohamad menghadiri Program Jom Masak Sihat Citarasa Peladang di Tasek Cempedak di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berharap orang keluar beramai-ramai bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada 6 Julai nanti.

“Kita berharap peratusan keluar mengundi pada PRK Sungai Bakap kali ini tinggi,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top