Barisan Nasional (BN) kekal dengan pendirian untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, meskipun terdapat usaha rundingan bagi mengelakkan pertembungan antara gabungan politik.
Akan muktamatkan calon untuk semua kerusi
Memetik laporan daripada Bernama , Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan senarai calon sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon.
“Saya akan memuktamadkan senarai calon-calon BN untuk 56 kerusi DUN dalam tempoh yang paling singkat. Kita akan umumkan nama-nama calon itu, insya-Allah, seminggu sebelum hari penamaan calon.
“Ini untuk kita bentangkan bagi beberapa isu, jika ada, dapat diselesaikan lebih awal di DUN tertentu,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya.

Kekalkan konsep WALI
Menurutnya, BN akan terus mengekalkan konsep WALI dalam pemilihan calon iaitu winnable, acceptable dan likeable, selain menampilkan gabungan muka lama serta baharu dalam barisan calon kali ini.
Jelasnya, pendekatan itu bertujuan memberi ruang kepada bakat baharu untuk menyerlah dalam kepimpinan negeri Johor.
“Ertinya, tiga falsafah ini terus dikekalkan dan insya-Allah, kombinasi akan kita lakukan antara pemegang-pemegang jawatan yang ada dan juga muka-muka baharu. Kali ini muka-muka baharu akan turut mewarnai wajah-wajah bakat kepimpinan baharu di negeri Johor,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berhasrat mengadakan rundingan bersama pimpinan BN bagi mengelakkan pertembungan dalam pilihan raya negeri.
Bagaimanapun, sehingga kini belum ada pertemuan rasmi antara kedua-dua pihak, meskipun usaha rundingan pernah dibangkitkan sebelum ini.
PRN Johor kali ini dijangka menjadi tumpuan susulan perubahan landskap politik selepas pilihan raya umum lalu, dengan semua gabungan utama dijangka bertanding secara lebih terbuka.
Sumber: Bernama





