PRN Johor: Mainkan isu pembebasan Najib hanya cetus kebencian – Mohamed Khaled

PRN Johor: Mainkan isu pembebasan Najib hanya cetus kebencian – Mohamed Khaled


mahaizura@mediaprima.com.my

Kota Tinggi: Nasib Datuk Seri Najib Razak tidak ditentukan melalui keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, tindakan terus memainkan isu pembebasan bekas Perdana Menteri itu sepanjang kempen PRN Johor ke-16 sebagai tidak wajar kerana keputusan pilihan raya tidak mempunyai kaitan dengan kedudukan Najib.

“Najib sudah melalui semua proses perundangan, malah saya percaya beliau sudah cukup dihukum jadi saya pun tidak faham mengapa ada pihak cuba menimbulkan soal ini.

“Macam mana sekalipun keputusan pilihan raya ini, kedudukan Najib tidak ditentukan siapa menang atau siapa tubuhkan kerajaan.

“Apatah lagi, ini hanya hendak pilih kerajaan negeri bukan kerajaan pusat, malah kita pun tahu soal pengampunan atau berkait dengan Najib itu hak mutlak dan keistimewaan budi bicara yang ada pada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan projek madu kelulut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Sedili Kecil di sini, hari ini.

Mohamed Khaled percaya isu berkenaan sengaja dibangkitkan bagi menimbulkan kebencian serta mencecah belahkan rakyat sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, pilihan raya sepatutnya menjadi medan rakyat memilih kerajaan terbaik untuk mentadbir negeri, bukannya platform untuk mencetuskan permusuhan.

“Tindakan ini tidak wajar, malah saya percaya matlamat untuk timbulkan nama Najib ini hanya semata-mata hendak bangkitkan kebencian antara satu sama lain dan menyebabkan rakyat berpecah belah,” katanya.

Isu Najib kembali menjadi antara bahan kempen pada minggu terakhir PRN Johor apabila beberapa pihak mengaitkan pilihan raya itu diadakan lebih awal bagi membebaskan bekas Perdana Menteri berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top