PRN N9: Tolak politik 'kahwin-cerai' – Mohamad Sabu

PRN N9: Tolak politik 'kahwin-cerai' – Mohamad Sabu

PRN N9: Tolak politik 'kahwin-cerai' – Mohamad Sabu


am@hmetro.com.my

Seremban: Rakyat dan pengundi di Negeri Sembilan perlu menolak ‘politik kahwin-cerai’ yang sering diamalkan sesetengah parti politik demi mendapatkan kuasa.

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ‘politik kahwin cerai’ yang melambangkan ketidaksetiaan kepada sekutu sedia ada tidak boleh diterima, malah akan menjejaskan kestabilan politik di negara ini.

Tanpa menyebut nama parti dimaksudkan secara khusus, beliau yang juga Presiden AMANAH mengingatkan pengundi berhati-hati dengan pihak yang sering mengubah pendirian politik mengikut keadaan demi kepentingan masing-masing.

“Mereka berkahwin dengan Barisan Nasional (BN) dulu, kemudian bercerai. Berkahwin pula dengan Pakatan Rakyat, kemudian bercerai pada 2015.

“Dia berkahwin balik dengan UMNO-BN, tak lama berkahwin setahun lebih, cerai. Kahwin pula dengan BERSATU tapi diceraikan pula.

“Sekarang dia mengurat pula ‘isteri’ kita ‘BN’. Politik begini jangan kita izinkan terus berkembang di Malaysia,” katanya berucap pada program Ceramah Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan sempena kempen PRN Negeri Sembilan Ke-16 di sini, malam tadi.

Program dihadiri Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminudin Harun.

Pada PRN Negeri Sembilan Ke-16, Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai PAS membentuk persefahaman dengan BN, yang mana BN bertanding di 25 kerusi, manakala PN di 11 kerusi.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri yang diterajuinya komited menjaga kebajikan dan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat menerusi Manifesto PH, yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau yang juga calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi juga menafikan tuduhan melabelkan dirinya sebagai ‘boneka DAP’, sebaliknya pentadbiran kerajaan negeri sentiasa bekerjasama sebagai satu pasukan demi kepentingan rakyat.

“Inisiatif yang kita bawakan bukan untuk kelompok tertentu. Kita bekerjasama sebagai satu pasukan untuk memastikan keadilan sosial dan kebajikan masyarakat Melayu, Cina dan India sentiasa terbela secara adil dan saksama,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan kewangan Negeri Sembilan kini berada pada tahap yang amat kukuh, dengan jumlah rizab simpanan mencapai RM1.3 bilion, membuktikan kecekapan pentadbiran yang berdisiplin, telus dan bebas rasuah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top