Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sebagai kemenangan rakyat.
Sehubungan itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah atas mandat baharu diberikan kepada beliau untuk terus menerajui kepimpinan pentadbiran negeri.
“Kemenangan ini milik setiap daripada anda yang percaya kepada visi kita, menyokong usaha kita dan berkongsi impian kita untuk masa depan Sabah lebih cerah.
“Dengan penuh kesyukuran, saya menerima kepercayaan yang anda berikan kepada saya dan rakan-rakan saya dalam GRS untuk sekali lagi memimpin dan berkhidmat sebagai wakil rakyat anda.
“Sokongan rakyat yang tidak berbelah bahagi dan keyakinan mereka terhadap perjuangan kita telah menjadi pemangkin kepada kemenangan ini,” katanya dalam kenyataan selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-17 di Istana Seri Kinabalu di sini, pagi ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






