PRN Sabah: PM yakin menang, minta rakyat tolak politik perbalahan kaum

PRN Sabah: PM yakin menang, minta rakyat tolak politik perbalahan kaum


Tawau: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan mampu meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Sabtu ini.

Katanya, keyakinan itu bersandarkan sambutan rakyat sepanjang siri jelajah dan program yang dihadirinya di negeri itu.

“Insya-Allah, sambutan baik dan kita harap kemenangan yang bergaya,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas berucap di Program Ceramah PMX Sayang Sabah di Dewan Terbuka Merotai, malam tadi.

Terdahulu, Perdana Menteri berucap di hadapan ribuan yang hadir.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa politik berasaskan perbalahan kaum dan etnik tidak pernah memberi manfaat kepada rakyat, sebaliknya hanya mengundang perpecahan serta mengekang kemajuan negara.

Katanya, kempen yang meniup sentimen kebencian antara kaum hanya mengalihkan perhatian daripada isu sebenar rakyat, selain mengganggu keharmonian rakyat berbilang bangsa.

“Saya di sini untuk menyampaikan mesej. Saya tidak mahu politik yang serang parti sana, yang Bugis marah Melayu, Melayu marah Cina, Sabah marah Semenanjung.

“Saya tak mahu ini semua. Rakyat mesti diutamakan,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat menolak politik kebencian dan memilih kepimpinan yang mempunyai rekod kerja jelas serta komited membangunkan rakyat, bukannya memainkan isu kaum.

“Siapa mahu jadi wakil rakyat, siapa mahu perintah Sabah, siapa mahu perintah Malaysia mesti jaga amanah dan angkat martabat rakyat,” katanya.

Tambahnya, keamanan dan keharmonian di negeri Sabah perlu dijaga kerana ia turut menjadi asas kepada kestabilan serta kemajuan negara.

Tiada sesiapa terkecuali dalam usaha membanteras rasuah

Perdana Menteri turut menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan usaha membanteras rasuah dilaksanakan tanpa pengecualian, termasuk jika ia membabitkan mana-mana individu berprofil tinggi.

Katanya, integriti menjadi asas pentadbiran kerajaan dan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan tidak akan dilindungi.

“Kita mesti tegas. Saya nak tanya, dulu kalau Perdana Menteri, menteri atau pegawai dituduh, dia cover up.

“Saya ada setiausaha politik didakwa saya bagitahu pagi-pagi tadi SPRM siasat, saya tidak peduli siapa.

“Tapi jangan hukum dulu, siasat dulu. Kerana apa? kerana kita tidak boleh kawal semua. Tetapi kita boleh ikut undang-undang dan peraturan,” katanya.

Pastikan pembangunan negara tak terganggu oleh rasuah

Tambahnya, tindakan tegas terhadap rasuah penting bukan sahaja untuk menjaga keyakinan rakyat, tetapi juga bagi memastikan pembangunan negara tidak terganggu akibat penyalahgunaan kuasa yang berlarutan.

Terdahulu, Perdana Menteri menegaskan SPRM bebas untuk menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan luar berhubung tuduhan terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan beliau, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang didakwa terbabit rasuah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top