MERSING: Kehidupan kini menjadi lebih bermakna bagi Raihana Ramlan, seorang usahawan berjaya yang telah mengubah hobinya menjadi sumber pendapatan utama.
Dengan hanya mempelajari teknik pembuatan rantai manik melalui laman sosial TikTok, Raihana, 28, kini berjaya meraih pendapatan empat angka setiap bulan.
Hobi menghasilkan kraf tangan rantai untuk rakan-rakannya bermula ketika Raihana masih aktif bekerja sebagai eksekutif khidmat pelanggan di sebuah syarikat kereta di Ipoh, Perak.
“Jualan aksesori perhiasan ini mempunyai potensi kerana ia sentiasa dipakai oleh wanita. Dengan modal RM2,000 yang diperoleh daripada bonus, saya tidak menyangka salah satu video di akaun TikTok saya tular.
“Apabila permintaan meningkat dan mencapai 100 pesanan, saya memutuskan untuk berhenti kerja. Ini kerana jika saya terus bekerja, pendapatan saya hanya RM2,000 sebulan, sedangkan hasil jualan rantai tangan membolehkan saya memperoleh antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan,” katanya ketika ditemui pada majlis graduasi Program Memacu Kehidupan Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR), bersempena Program Ulang Tahun PETRONAS ke-50 ‘Sireh Pulang ke Gagang’ baru-baru ini.
Raihana, pemegang Diploma Seni Bina dari Politeknik Sultan Idris Shah, Perak, menyatakan bahawa walaupun cita-citanya untuk menjadi arkitek tidak kesampaian, dia masih mampu menzahirkan imaginasi dan kreativiti melalui rekaan kraf tangan yang diusahakannya.
“Dengan kemahiran melukis yang dianugerahkan Allah SWT, saya menceburi bisnes kraf tangan dan berasaskan sebagai satu keputusan terbaik dalam hidup saya” kata anak kedua daripada lima beradik itu, yang juga adalah seorang daripada tujuh peserta terbaik Program Memacu Kehidupan MEKAR.
Dia bersyukur mendapat bimbingan daripada Yayasan PETRONAS melalui kursus E’Preneur-Usahawan Digital/Dropship yang disertainya sejak setahun setengah yang Lalu.
Katanya, hasil jualan produk kraf tangan seperti gelang dan rantai melalui laman TikTok berjaya memperoleh lebih kurang RM7,000 pada bulan lalu, menunjukkan peningkatan pendapatan hampir empat kali ganda.
Raihana, anak jati Kampung Seri Pantai, berkata beliau teruja dapat menimba ilmu dalam pengurusan dan pemasaran perniagaan melalui kursus media sosial yang disertainya.
“Saya kini memahami cara mengurus fail dengan betul, termasuk urusan percukaian dan pengiraan kos untung rugi perniagaan. Saya juga diajar mengenai cara pemasaran di platform Shopee dan TikTok, termasuk konsep Affiliate.
“Sebelum menyertai kursus, saya mempunyai hampir 40,000 pengikut di TikTok, tetapi kini jumlahnya telah mencecah 80,000,” tambahnya.
Seorang lagi peserta terbaik Program Memacu Kehidupan MEKAR adalah tukang jahit, Marliana Ramlan, 40.
Dia bersyukur kerana kini berpeluang mempelajari teknik menjahit sepasang baju kurung dalam tempoh setengah jam, berbanding sebelumnya yang memerlukan satu hingga dua jam.
Ibu tunggal kepada dua anak lelaki berusia 11 dan 14 tahun itu berkata, ilmu baharu ini diperoleh selepas mengikuti kursus berkenaan.
Menurut Marliana, dia mula menjahit sejak berusia 18 tahun dan telah menjadikan bidang jahitan sebagai sumber pendapatan utama sejak tujuh tahun lalu.
“Sebelum ini, emak saya yang memotong kain manakala tugas saya adalah menjahit. Lama-kelamaan, saya lupa cara memotong kain walaupun pernah mengikuti kursus jahitan di Pusat GIATMARA.
“Oleh sebab itu, saya mengambil kursus ini kerana tidak mahu terus bergantung pada emak. Alhamdulillah, kini saya boleh menghasilkan lebih enam jenis pakaian, termasuk uniform jururawat dan baju peplum, serta tahu cara memotong pelbagai jenis kain.
“Saya menghadiri kelas jahitan setiap Jumaat dan Sabtu di sebuah balai raya di pusat bandar sejak setahun setengah lalu. Dengan bimbingan tenaga pengajar, saya kini mampu menjahit pakaian dengan lebih kemas dan rapi.
“Sepanjang kursus, saya juga mempelajari cara menjual dan memasarkan produk melalui media sosial.
Hasilnya, saya berjaya menarik pelanggan dari Selangor melalui Facebook dan TikTok, yang terhasil selepas mengikuti program ini,” kata Marliana, yang kini tinggal bersama ibu bapanya di Felda Tenggaroh 6.
Marliana kini mampu meraih pendapatan lebih RM2,000 sebulan, dengan peningkatan sebanyak empat kali ganda.
“Saya berharap program ini dapat diperluaskan kepada rakan-rakan lain, terutama ibu tunggal, agar mereka juga dapat mempunyai pendapatan sendiri,” katanya.
Peserta terbaik seterusnya adalah bekas jurutera, Tan Ye Ho, 42, yang telah memanfaatkan kemahiran kejuruteraan yang dimilikinya untuk mencipta inovasi di dalam bidang pertanian.
Ye Ho bersyukur kerana terpilih menyertai kursus ini, yang telah membantunya meraih pendapatan lebih daripada RM6,000 sebulan, iaitu peningkatan pendapatan sebanyak enam kali ganda.
Dia kini mengusahakan ladang seluas 60 ekar di Jemaluang, menanam pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran seperti nangka, cempedak, ubi, serai, dan lada.
“Saya berhenti kerja sebagai jurutera kerana ingin pulang ke kampung dan meneruskan perniagaan orang tua saya sejak empat tahun lalu.
“Pada mulanya, saya tidak begitu mahir dengan selok-belok pertanian, namun lama-kelamaan saya semakin mahir dalam bidang ini.
“Saya juga telah menggunakan kemahiran saya untuk mencipta inovasi yang menjimatkan masa dan kos buruh, melalui penggunaan teknologi dalam siraman air dan baja,” katanya.
Menurut Ye Ho, selain mempelajari teknik-teknik penanaman dan perniagaan yang boleh memberikan hasil lumayan, beliau juga sering berkongsi kemahiran dan tips berguna dengan peserta Program Memacu Kehidupan MEKAR yang lain.
Memperkasa usahawan
Program Memacu Kehidupan MEKAR, yang dilancarkan oleh Yayasan PETRONAS pada tahun 2019, merupakan inisiatif strategik untuk meningkatkan pendapatan masyarakat terpinggir dan mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia.
Dalam usaha gigih Yayasan PETRONAS untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan, Program Memacu Kehidupan MEKAR fasa dua diperkenalkan untuk meningkatkan taraf hidup komuniti kurang berkemampuan melalui latihan kemahiran yang disesuaikan serta bimbingan keusahawanan.
Peserta didedahkan kepada kepentingan perubahan pemikiran untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan mereka.
Selain itu, peserta turut dilengkapi dengan kemahiran insaniah, serta bimbingan mengenai pembinaan imej dan penampilan untuk meningkatkan keyakinan diri mereka.
Sejak pelancarannya, program ini telah membantu lebih 4,500 peserta dalam meraih pendapatan yang berlipat ganda, sekali gus membuktikan kejayaan Program Memacu Kehidupan MEKAR dalam merapatkan jurang pendapatan dan menyokong matlamat Malaysia untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi.
Program ini akan terus diperkasakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif serta mampan.
Tingkat taraf hidup rakyat
Program Memacu Kehidupan MEKAR merupakan kolaborasi di antara Yayasan PETRONAS dan East Coast Economic Region Development Council (ECERDC) bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai rakan pelaksana di Mersing.
Seramai 169 peserta telah terpilih dan tujuh individu telah dinobatkan sebagai peserta terbaik sepanjang dua tahun program ini berlangsung pada majlis graduasi yang diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, program tersebut juga telah berjaya melahirkan seramai 2,149 usahawan berjaya dari Pantai Timur.
Kejayaan program yang memberangsangkan ini menjadikan ia antara tempat persinggahan satu daripada dua Obor Peringatan sempena meraikan sambutan ulang tahun PETRONAS yang ke-50.
Kedua-dua obor peringatan tersebut telah mengelilingi negara secara berasingan ke tempat-tempat bersejarah PETRONAS dalam membangun serta meraih kejayaan sepanjang lima dekad yang lalu.
Dua obor peringatan ini telah bertemu di Kuala Lumpur semasa sambutan ulang tahun PETRONAS ke-50 pada 17 Ogos 2024.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Program Memacu Kehidupan MEKAR, sila layari www. yayasanpetronas.com.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd