ARAU: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) negeri melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pasca banjir sebagai usaha membantu mangsa terjejas dengan bencana itu.
Program CSR pasca banjir dan bantuan asnaf atas inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu dilaksanakan di Masjid Al-Abrar, Kubang Gajah di sini semalam.
Para sukarelawan PKMM Perlis turut membantu melaksanakan kerja-kerja pembersihan kawasan, pembuangan sampah serta pemberian bantuan asas kepada penduduk setempat.
PKMM juga mengadakan sesi interaksi bersama mangsa bagi mengenal pasti keperluan dan tahap kerosakan dialami ekoran banjir yang disifatkan terburuk dalam tempoh 15 tahun itu.
Pada sebelah petang, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan
menyempurnakan penyampaian bantuan asnaf di masjid berkenaan sebelum berangkat menyertai kayuhan MAIPs Peduli bagi meninjau situasi pemulihan pasca bencana di kawasan itu.
Kayuhan tersebut disertai pelbagai agensi serta ketua-ketua jabatan sebagai simbol solidariti bersama rakyat dan sokongan terhadap usaha pemulihan yang sedang dijalankan.
PKMM Perlis dalam satu kenyataan memaklumkan, program tersebut bertujuan meringankan beban penduduk terkesan serta menunjukkan komitmen menyokong usaha kebajikan dan solidariti sosial di negeri ini.
“PKMM Perlis amat menghargai keberangkatan Tuanku Raja Muda Perlis yang sentiasa dekat dengan rakyat. Terima kasih juga kepada semua penyumbang, kontraktor, agensi dan sukarelawan yang menjayakan program ini.
“Program CSR seperti ini dijangka diteruskan bagi memastikan kawasan yang terjejas dapat dipulihkan sepenuhnya dan keluarga yang terkesan mendapat sokongan berterusan,” kata kenyataan itu.-UTUSAN






