am@hmetro.com.my
Tawau: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengakui timbul masalah kekurangan stok beras di beberapa lokasi termasuk di beberapa pasar raya di daerah ini.
Beliau berkata, tinjauan mendapati beras menjadi antara produk paling laris ditebus penerima sehingga menyebabkan kehabisan stok, manakala bekalan yang tinggal pula bukan beras tempatan.
“Saya akan maklumkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memastikan bekalan beras terutama di kawasan tertentu ditingkatkan segera.
“Hal ini perlu diberi keutamaan kerana ia antara barang paling banyak diminta,” katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan SARA di sini, hari ini.
Fahmi turut mencadangkan mekanisme pemantauan stok lebih teliti dilakukan berdasarkan data pembelian daripada setiap pasar raya bagi mengelak gangguan bekalan.
Selain itu, Fahmi turut memaklumkan, beliau menerima aduan berhubung kekurangan lokasi tebus barangan di beberapa kawasan, termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai yang ketika ini hanya mempunyai dua premis bagi pelaksanaan program SARA.
Menurutnya, jumlah premis bagi pelaksanaan SARA kini sudah meningkat kepada lebih 7,300 berbanding hanya 2,000 ketika ia mula dilaksanakan, dan angka itu diyakini masih boleh diperluaskan.
Sementara itu, berhubung isu tuntutan bertindih termasuk penggunaan MyKad orang lain yang dilaporkan hilang, Fahmi berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang, selain menekankan keperluan mewujudkan saluran bantuan segera seperti hotline MyKasih untuk dimaklumkan kepada juruwang.
“Secara keseluruhannya program ini berjalan baik, cuma isu bekalan perlu diberi keutamaan agar penerima benar-benar dapat menikmati manfaat yang diumumkan Perdana Menteri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd