Program Semarak Ramadan santuni warga Bandar Baru Sungai Buloh, komuniti sekitar

Program Semarak Ramadan santuni warga Bandar Baru Sungai Buloh, komuniti sekitar


am@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Program Semarak Ramadan anjuran Berita Harian (BH) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berlangsung meriah di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Program itu menyaksikan aktiviti merewang bubur lambuk yang disediakan secara gotong-royong sebelum diagihkan kepada warga Bandar Baru Sungai Buloh dan komuniti sekitar.

Seawal jam 7 pagi, kakitangan termasuk petugas BH berganding bahu menyediakan kira-kira 500 pek bubur lambuk untuk agihan jemaah masjid dan orang ramai bermula jam 2 petang.

Ketua Cawangan Penjenamaan, Media dan Perhubungan Awam, PERKESO, Tengku Datuk Khalidah Tengku Bidin berkata, Ramadan adalah bulan terbaik untuk menyantuni masyarakat serta mengeratkan kerjasama antara agensi dan rakan media.

Beliau berkata, program seperti ini turut memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat mengenai kepentingan perlindungan sosial.

“Program sebegini bukan sahaja mendekatkan PERKESO dengan masyarakat, malah mengeratkan lagi hubungan dengan rakan media yang banyak membantu kami dalam menyebarkan kesedaran mengenai keselamatan sosial di negara ini.

“Kami juga komited untuk terus bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menjayakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat, terutama golongan yang memerlukan,” katanya kepada media selepas program Semarak Ramadan dan agihan bubur lambuk di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh merangkap wakil Menteri Sumber Manusia, Ikrami Mazli; Pengarang Kumpulan BH, Zulkifli Jalil; Ketua Pegawai Operasi The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Luqman Adrine Jaafar; Timbalan Pengarang Kumpulan BH, M Thillinadan; Pengurus Besar Jabatan Pengedaran Print Towers Sdn Bhd, M Prakash serta Ketua Pemasaran Jasmine Food Corporation Sdn Bhd, Kow Ai Nah.

Selain itu, Tengku Khalidah turut memaklumkan, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan sebelum ini melancarkan inisiatif Bakul Makanan Ziarah MADANI sempena Aidilfitri yang akan memberi manfaat kepada hampir 20,000 isi rumah di seluruh negara.

“PERKESO sangat komited dalam memberi kerjasama untuk menyantuni masyarakat bagi program-program sebegini dan BH juga banyak memberi kerjasama kepada kami terutamanya dalam mendidik masyarakat tentang pentingnya pelindungan sosial di kalangan masyarakat kita,” katanya.

Sementara itu, Ikrami berkata program agihan bubur lambuk yang diadakan di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh itu adalah antara inisiatif tahunan yang dilaksanakan di kawasan Parlimen Sungai Buloh.

Katanya, setakat ini terdapat 17 masjid di kawasan Parlimen itu dan program agihan bubur lambuk dilaksanakan secara bergilir dengan kerjasama pelbagai agensi.

“Pada tahun ini, Masjid Bandar Baru Sungai Buloh dipilih sebagai lokasi keempat bagi program minggu keempat yang diadakan sepanjang Ramadan.

“Kami difahamkan bubur lambuk disediakan untuk diagihkan kepada masyarakat setempat termasuk kanak-kanak di kawasan Bandar Baru Sungai Buloh,” katanya.

Zulkifli pula berkata, program ini adalah edisi ketiga Semarak Ramadan BH tahun ini, sekali gus menjadi penutup kepada siri agihan bubur lambuk anjuran BH.

Beliau berkata, inisiatif itu turut bertujuan menyemarakkan semangat kebersamaan serta menggalakkan lebih banyak pihak termasuk syarikat korporat, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil bersama menyantuni masyarakat.

“Terima kasih kepada YB Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, menerusi PERKESO memberi komitmen dan memperuntukkan kira-kira 500 pek bubur lambuk kali ini.

“Kita berharap komitmen seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan serta lebih banyak pihak tampil menyertai program kebajikan seperti ini, terutama menjelang Ramadan,” katanya.

Selain itu, Ai Nah berkata, pihaknya menaja bekalan beras bagi penyediaan bubur lambuk selain menyumbang satu kilogram beras Jasmine Sunwhite Beras Wangi yang dimasukkan ke dalam setiap pek makanan untuk diagihkan kepada orang ramai.

Katanya, sumbangan itu adalah sebahagian daripada usaha syarikat menyokong program komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Kami berharap kerjasama bersama BH dapat diperluas pada masa hadapan melalui lebih banyak program kemasyarakatan untuk gandingan bersama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top