KETUA Pegawai Eksekutif Manchester United, Omar Berrada, berpegang teguh kepada misi utama kelab menjelang ulang tahun ke-150 pada tahun 2028 iaitu menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi skuad lelaki dan wanita The Red Devils.
Projek yang dinamakan ‘Projek 150’ itu mula diperkenalkan kepada kakitangan kelab pada September 2024, dengan matlamat mengembalikan United ke puncak kegemilangan bola sepak Inggeris selepas mengharungi berlarutan tempoh sukar.
Manchester United yang ditubuhkan pada 1878 dengan nama asal Newton Heath, sedang bergelut dengan prestasi terburuk dalam era moden termasuk musim lalu yang menyaksikan skuad lelaki menamatkan saingan di tangga ke-15, rekod terburuk sejak tersingkir dari liga utama pada musim 1973/74.
Berrada bagaimanapun tidak gentar dengan cabaran getir yang mendepani kelab, terutama mengambil kira dominasi skuad wanita Chelsea yang muncul juara trebel tanpa kalah musim lalu.
“Mungkin kelihatan mustahil sekarang, tetapi kita harus berani memasang impian besar. Apa salahnya mensasarkan kejuaraan? Mengapa tidak lakukan segala-galanya dalam kemampuan kita untuk mencapainya?” katanya.
Mengambil inspirasi daripada kebangkitan pasukan dari Sepanyol, Barcelona kelab lamanya yang menjuarai Liga Juara-Juara hanya tiga tahun selepas menamatkan saingan La Liga di tangga keenam pada musim 2002/03, Berrada yakin kelab berpotensi mengulangi kebangkitan sama.
“Kita ada dua atau tiga jendela perpindahan untuk membina skuad yang mampu bersaing merebut kejuaraan. Sasaran ini bukan bermaksud kita tidak mahu menang lebih awal, tetapi ia memberi fokus dan hala tuju yang jelas,” jelasnya lagi.
Di sebalik cabaran kewangan akibat kekalahan dalam final Liga Europa kepada Tottenham, yang dianggarkan menjejaskan pendapatan kelab antara £80 juta hingga £90 juta pound, serta pusingan pemberhentian kakitangan kedua, Berrada percaya pelaburan jangka panjang tetap berbaloi.
Antara yang paling signifikan ialah penyiapan projek naik taraf fasiliti latihan di Carrington bernilai £50 juta pound, yang menurutnya memberi manfaat besar kepada skuad lelaki dan wanita.
“Fokus kita sering terganggu dengan isu melibatkan skuad utama lelaki, tetapi kami tetap komited menjadikan pasukan wanita antara yang terbaik,” katanya sambil menegaskan komitmen bersama pemilik minoriti kelab, Sir Jim Ratcliffe.
“Seperti yang disebut Jim, ‘kalau anda pakai jersi Manchester United, anda wajib menang’. Saya berkongsi sepenuhnya prinsip itu,” jelas Berrada menegaskan kelab sebesar United perlu memainkan peranan dalam pembangunan bola sepak secara menyeluruh, termasuk memperkasakan sukan wanita sebagai tanggungjawab sosial.






