Projek mega gagal: UMNO Kedah sifatkan Sanusi cuba lepas tangan

Projek mega gagal: UMNO Kedah sifatkan Sanusi cuba lepas tangan


KUALA LUMPUR – UMNO Kedah kesal dengan sikap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa cuba lepas tangan berhubung dakwaan kegagalan projek mega di negeri itu.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Muhammad Sanusi sangat tidak bertanggungjawab dalam hal ini apabila berkata projek berkenaan adalah di bawah syarikat swasta dan bukannya projek kerajaan negeri.

“Budak habis tingkatan 5 pun boleh jadi MB kalau macam ini. Pasukan penilai kerajaan negeri pula sangat lemah.

“Sepatutnya kerajaan negeri dapatkan pasukan penilai hartanah yang profesional, yang boleh membantu menentukan nilai sebidang tanah atau bangunan dan boleh membuat penilaian dengan lebih tepat dan berkesan.

“Pasukan penilai ini jugalah yang sepatutnya menilai syarikat mana berkemampuan untuk melabur dan syarikat mana yang lemah atau berstatus ’scammer’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shaiful Hazizy mengulas kenyataan Muhammad Sanusi beberapa projek mega yang diumumkan Kerajaan Kedah sebelum ini bukan dibatalkan, sebaliknya syarikat pelaburan swasta sebagai pelaksana berdepan kekangan dalam perniagaan.

Muhammad Sanusi juga berkata, projek Widad Langkasuka dan litar lumba di Langkawi, pembinaan litar lumba antarabangsa dan stadium di Sungai Petani merupakan pelaburan syarikat swasta, bukannya kerajaan negeri seperti didakwa segelintir pihak.

Shaiful Hazizy turut berkata, Muhammad Sanusi sepatutnya lebih bersikap realistik dan cuba cari jalan penyelesaian terhadap masalah masalah yang ada.

“Kerajaan negeri di bawah Muhammad Sanusi sentiasa bersikap melepaskan batuk di tangga. Bersikap sambil lewa, ambil kesempatan buat pengumuman itu, pengumuman ini walaupun hakikat yang sebenarnya initiatif dan projek yang diumumkan itu tidak realistik dan sememangnya tidak masuk akal.

“Muhammad Sanusi adalah seorang menteri besar yang lemah dan suka mencari alasan. Pelabur lari, gaji tertunggak, stadium tak siap, REE tapi ini alah bisa tegal biasa, Sanusi akan menyalahkan orang lain atas kegagalan dia termasuk dalam hal ini Sanusi kata ini projek swasta bukan projek kerajaan. Tak pandai menari dikatan lantai berjungkit,” katanya lagi.

Semalam, Muhammad Sanusi berkata, kesemua projek berkenaan bukan gagal dilaksanakan, sebaliknya kemajuan sedikit perlahan disebabkan komitmen syarikat terlibat yang perlu mengutamakan kos operasi syarikat masing-masing.

“Syarikat swasta berhasrat bangunkan projek tersebut, kita umumlah. Tidak merugikan duit kerajaan pun, saya jaga amanah kerajaan, bukan jaga syarikat swasta. Kalau pertimbangan syarikat itu ada kekangan, mereka tangguh atau pilih secara berfasa, itu hak mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman.

Muhammad Sanusi berkata, beliau tampil memperjelaskan situasi berkenaan kerana terdapat segelintir pihak membuat tuduhan terhadap kerajaan negeri gagal menyiapkan projek berkenaan, yang mana ia tidak tepat.

“Ada pihak tak pandai memandang perkara baik. Hanya mencari perkara buruk, apa yang mereka cari, yang itu mereka dapat.

“Kerajaan negeri pun berhati-hati supaya tidak terbabit dengan projek-projek yang boleh menjadi ‘gajah putih’. Kita sangat berhati-hati dengan duit pembayar cukai, apatah lagi orang dalam perniagaan, kalau rugi kena keluar modal sekali lagi. Ia tidak bagus untuk pertimbangan perniagaan.

“Ada pihak tak faham kata semua itu projek kerajaan negeri sedangkan ia dilaksanakan pihak swasta,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top