hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan berlaku amalan rasuah dan penyelewengan berhubung tender pembinaan MyKiosk oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Ia susulan aduan yang diterima SPRM daripada sebuah parti politik berhubung perkara berkenaan.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus berkata, susulan itu pihaknya menjalankan siasatan awal berhubung aduan berkenaan.
Katanya, pada masa sama, Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) juga sudah memulakan proses penyiasatan secara serentak.
“Selain KPKT yang sudah mengemukakan laporan penuh berhubung proses dan pemberian tender yang berkaitan, beberapa pihak yang terbabit turut memberi beberapa dokumen berkaitan projek ini.
“Dalam siasatan ini, SPRM akan memberi tumpuan kepada dua perkara iaitu pengesanan sekiranya wujud amalan rasuah dan penyelewengan dalam proses tender,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, SPRM juga akan meneliti keseluruhan proses tatakelola sekiranya wujud sebarang kepincangan dan pelanggaran peraturan, sistem dan prosedur ditetapkan.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd