am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Hospital Pulau Pinang melalui Unit Hal Ehwal Islam berjaya mengumpul sejumlah 65 kilogram (kg) al-Quran serta kitab bacaan yang lusuh dan rosak untuk dilupuskan.
Pengumpulan naskhah suci itu dilakukan dalam tempoh dua jam sebelum dibawa ke pusat pelupusan di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan di Jawi.
Wakilnya Ismaruddin Ismail berkata, inisiatif itu pertama kali dilaksana selepas memperoleh maklumat cara pelupusan yang betul menerusi seminar Kementerian Dalam Negeri, baru-baru ini.
“Sebelum ini, kita belum pernah buat pelupusan al-Quran kerana tidak tahu mengenainya sehinggalah dimaklumkan oleh pihak KDN.
“Untuk pertama kali ini, pengumpulan hanya dalam kalangan kakitangan hospital sahaja,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi kakitangan hospital, Muhammad Ali Adnan berkata, program itu disambut baik warga kerja demi menjaga kesucian al-Quran dan bahan mengandungi ayat suci.
“Rata-rata kakitangan hospital tinggal di kuarters dan tiada banyak ruang untuk menyimpan al-Quran serta kitab-kitab bacaan yang telah lusuh dan rosak, tetapi mereka tidak tahu cara yang betul untuk melupuskannya.
“Jadi, bila tahu ada program pengumpulan untuk pelupusan maka ramai-ramai datang dan kita hanya menjadi orang tengah untuk kutip serta hantar ke pusat pelupusan,” katanya yang memaklumkan projek rintis itu mungkin akan diperluas pada masa akan datang.
Menurutnya, mereka bercadang mewujudkan sudut pengumpulan al-Quran lusuh dan rosak di hospital pada masa akan datang untuk membolehkan orang ramai turut serta.
© New Straits Times Press (M) Bhd






