PADA Umumnya setiap perniagaan yang dijalankan oleh mana-mana pihak adalah bertujuan untuk mendapat keuntungan. Dalam kaedah fekah disebut :
الأَصْلُ فِي الْمُعَامَلَاتِ الْإِبَاحَة
“Hukum asal dalam mumalat ialah harus.”
Pelbagai cara dilakukankan untuk mencapai tujuan tersebut termasuk mempopularkan syarikat atau produk serta perkhidmatan yang disediakan perlulah digiatkan. Promosi (التَرْوِيجُ) bermaksud segala usaha dan kegiatan untuk menggalakkan atau mempertingkatkan jualan barang. (Kamus Dewan)
Salah satu cara promosi yang sering dilakukan pada masa kini ialah dengan mempamerkan jenama atau logo syarikat perniagaan melalui sebaran media, diiklankan serta diedarkan kepada orang awam. Perbuatan mempamer itu adalah satu langkah promosi yang bertujuan agar jenama atau produk yang dikeluarkan itu dikenali dan diingati oleh pelanggan seterusnya mendorong hati pelanggan untuk tertarik dan membelinya.
Pengharaman arak dan judi adalah jelas di dalam al-Quran dan Hadis. Allah SWT telah berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (al-Maidah: 90)
Syeikh al-Maraghi menyebut bahawa Allah SWT memerintahkan manusia supaya menjauhi arak dan judi kerana kedua-duanya terdapat dua kerosakan yang bersifat duniawi dan bersifat keagamaan. Kerosakan duniawi ialah saling bermusuhan dan membenci ketika minum dan judi manakala kerosakan keagamaan ialah dengan bermabuk-mabuk dan sibuk dengan judi sehingga memalingkan kamu daripada mengingati Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/1690)
Imam Ibn Jarir al-Tabari pula menyebut bahawa akibat dari mabuk menyebabkan seseorang itu boleh memaki-hamun, mencederakan serta membawa kepada pertumpahan darah terhadap orang lain. Begitu juga dengan judi yang penuh dengan keseronokan dan juga menjanjikan kekayaan palsu yang menggiurkan, dengan berjudi menjadi asbab seseorang itu menipu dan menzalimi orang lain. Manfaatnya sedikit, namun mafsadah (kerosakan) yang timbul daripadanya lebih besar. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 2/489)
Demikian juga sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik R.A, beliau berkata:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ
“Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.” Riwayat Ibn Majah (3381) dan al-Tarmizi (1295)
Minuman arak dan amalan judi adalah jelas pengharamannya di dalam agama Islam. Oleh itu perbuatan mempromosi, menayangkan serta menyiarkan lambang atau logo syarikat arak atau judi dalam apa jua bentuk adalah diharamkan. Kerana ia akan memberitahu masyarakat akan kewujudan mereka (syarikat arak dan judi) seterusnya menjadi satu galakan kepada masyarakat untuk membeli, memiliki dan mencubanya. Allah SWT berfirman:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
“Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (al-Maidah: 2)
Imam Ibn Kathir menyebut, Dia (Allah SWT melarang kamu dari saling membantu atas perkara yang batil serta menolong atas perkara-perkara dosa dan sesuatu yang diharamkan. (Lihat Tafsir Al-Quran Al-‘Azhim, 3/7).
Bukan sahaja jualan arak dan judi itu haram, bahkan mempromosikan arak dan judi juga adalah suatu perbuatan yang haram dan dilarang di dalam Islam. Jika perlakuan seseorang dibuat tanpa niat mempromosi bahkan kerana kejahilan atau sikap toleransi berlebihan ia juga tetap salah dan harus memperbetulkan kesilapan tersebut dengan taubat dan memohon kemaafan, disertakan dengan penjelasan kepada masyarakat awam atas kehilafan tersebut bukan menuding jari dengan meyalahkan masyarakat awam yang menegur dan membangkitkan.
Sebagai sebuab kerajaan yang bertanggungjawab seharusnya dan sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh memupuk kesedaran kepada seluruh masyarakat terhadap isu-isu seperti ini untuk diberi perhatian supaya ianya tidak membarah di dalam masyarakat.
Perbuatan mempamerkan logo sesuatu syarikat arak dan judi dengan naratif kebaikan sumbangan derma di premis awam seperti sekolah adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab walaupun di hadapan pelajar majoriti bukan Islam. Kesan buruk akibat najis arak dan judi ini akan terkena kepada sesiapa sahaja tanpa mengira Islam atau bukan-Islam. Pelajar-pelajar sepatutnya dipupuk dengan didikan untuk hidup dalam keadaan bermoral dan berakhlak terpuji.
Masyarakat Islam seluruhnya juga perlu peka dan prihatin serta sensitif terhadap perkara seperti ini bagi menghindari perbuatan dosa tanpa mereka sedari.
DATUK DR AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS PUSAT
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa. – HARAKAHDAILY 25/7/2024