Proses ketum di sebalik bisnes landskap kebun bunga

Proses ketum di sebalik bisnes landskap kebun bunga



mhafis@mediaprima.com.my

Sungai Buloh: Kegiatan pemilik syarikat landskap kebun bunga bersama pekerjanya berselindung di sebalik premis itu untuk memproses dan menjual air ketum sejak 2021, mengundang padah apabila diserbu polis, 3 Oktober lalu.

Bagi mengelak perbuatan mereka disedari pihak berkuasa, segala urusan pembelian turut dilaksana menggunakan wang tunai sahaja dan tidak dibenarkan bayaran dalam talian atau QR.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, malah pembelinya turut akan menyamar sebagai pemandu e-haling termasuk menggunakan transporter untuk membeli air ketum terbabit.

Menurutnya, serbuan 12.05 tengah hari itu oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, hasil risikan selama dua bulan di dua rumah di Kampung Melayu Sungai Buloh.

“Dalam serbuan itu, pasukan merampas 1,100 botol anggaran isipadu 550,000 milimeter serta 41 karton rokok seludup.

“Suspek berusia 21 hingga 42 tahun di mana pemilik syarikat landskap itu antara ditahan bersama pekerjanya terdiri seorang tempatan dan dua pekerja warga asing,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Hussein berkata, hasil risikan, sebanyak 400 hingga 500 botol dapat dihasilkan untuk sekali proses dalam tempoh dua hingga ke empat hari dan akan dimasak semula selepas itu.

“Harga jualan air ketum juga berbeza mengikut waktu iaitu sebelah siang RM5, malam RM10 manakala awal pagi lebih mahal.

“Siasatan mendapati bekalan daun ketum diambil dari Perak dalam kuantiti 50 kilogram menggunakan lori dengan keuntungan mereka mencecah RM20,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek pertama memiliki satu rekod jenayah lampau dan kesemua mereka negatif dadah.

“Suspek direman seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top