Kathmandu: Nepal sedang menilai kerosakan berjuta-juta dolar daripada protes ganas minggu lalu, apabila Parlimen, pejabat kerajaan dan Hotel Hilton yang baru dibuka dibakar.
Sekurang-kurangnya 72 orang terbunuh dalam dua hari protes antirasuah, dengan lebih ramai lagi parah, menurut angka rasmi.
“Begitu banyak yang musnah,” kata jurucakap polis Binod Ghimire kepada AFP, sambil menambah bahawa ia akan mengambil masa untuk mengira tahap penuh kerosakan, termasuk di luar ibu negara.
Perdana Menteri sementara Nepal yang baharu, Sushila Karki, ketika memulakan tugasnya pada 14 September, menyifatkan “kehilangan nyawa dan harta benda yang meluas”.
Di Mahkamah Agung, pegawai bekerja di bawah khemah di luar bangunan yang hangus, di samping deretan kenderaan yang terbakar, cuba menyelamatkan dokumen yang dibasahi air.
Jurugambar AFP yang melawat bangunan Parlimen yang musnah berkata, keseluruhan dewan menjadi runtuhan hitam akibat kebakaran tanpa kawalan selama berjam-jam pada 9 September lalu.
Persatuan Hotel Nepal melaporkan lebih 20 hotel rosak, termasuk kebakaran Hotel Hilton. Hotel lain pula dirompak.
Kerugian dianggarkan berjumlah 25 bilion rupee Nepal (kira-kira RM875 juta), dengan lebih 2,000 pekerja terjejas. Kerosakan kepada Hotel Hilton sahaja diletakkan setinggi AS$56 juta (kira-kira RM263 juta).
Pelancongan adalah pendapatan utama, sumber perolehan keempat terbesar untuk negara itu. Ia menyediakan pekerjaan kepada lebih 371,000 orang, menurut angka kerajaan, dengan lebih sejuta pengunjung setiap tahun.
Kebakaran turut melanda Singha Durbar, istana luas yang menempatkan pejabat dan kementerian perdana menteri. Bangunan bersejarah itu runtuh, tiang putihnya berbelang hitam.
Selain pejabat kerajaan, balai polis diserang, dan mahkamah pula dibakar.
“Semua rekod, bukti, fail Mahkamah Agung kami semuanya dimusnahkan,” kata Cik Karki. “Badan-badan yang sangat penting di negeri ini telah menjadi sasaran dan diserang.”
Lebih daripada 12,500 banduan yang melarikan diri semasa huru-hara kekal dalam pelarian, memberikan cabaran keselamatan yang besar.
Penunjuk perasaan menyasarkan simbol elit pemerintah atau orang kaya. Mereka membakar rumah ahli politik, bilik pameran kereta dan pejabat persendirian.
Bangunan media turut diserang dan dibakar. Bangunan Kumpulan Media Kantipur rosak teruk, walaupun penyiar itu kembali ke udara dari studio sementara, dan akhbarnya disambung semula dalam talian.
© New Straits Times Press (M) Bhd






