PSG akan ‘mati’ jika tidak berubah – Luis Enrique

PSG akan ‘mati’ jika tidak berubah – Luis Enrique


PENGENDALI Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique menegaskan pasukannya perlu terus menyesuaikan diri dan melakukan penambahbaikan untuk mengejar kejayaan pada masa depan, sambil memberi amaran bahawa kegagalan untuk berbuat demikian akan membawa padah.

Juara Eropah itu bakal berdepan gergasi Jerman, Bayern Munich dalam aksi suku akhir Piala Dunia Kelab di Atlanta dan menurut jurulatih dari Sepanyol itu mereka tidak boleh terus bergantung kepada sistem permainan yang sama.

PSG sebelum ini menampilkan corak permainan menyerang dengan tiga penyerang dalam laluan mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara, namun Luis Enrique menegaskan pendekatan itu akan diubah apabila tiba masanya.

“Kami akan ubah kerana pasukan lawan akan menyesuaikan diri dalam bola sepak tiada apa yang kekal ajaib.

“Apabila anda berjaya mengatasi tekanan, lawan akan menyesuaikan diri. Apabila anda cipta kelebihan di satu kawasan, lawan juga akan menyesuaikan diri. Tiada formula ajaib.

“Tiada jurulatih yang ada satu sistem atau satu gerakan dan kekal dengan itu. Inilah cabaran bola sepak moden, semua jurulatih kini lebih bersedia, lebih cergas dan lebih bagus dari segi teknikal berbanding dahulu.

“Jadi kami perlu menyesuaikan diri, menjadi lebih baik dan tidak dapat dijangka oleh lawan, jika tidak pasukan akan ‘mati,” katanya.

Luis Enrique turut menegaskan bahawa pendekatan yang membantu PSG mencipta treble musim ini tidak lagi mencukupi untuk musim akan datang.

“Apa yang kami capai musim lalu tidak mencukupi untuk musim ini. Kami perlu berubah, kami perlu perbaiki pelbagai perkara,” ujarnya.

PSG sebelum ini tewas 0-1 kepada Bayern Munich dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada November lalu, sebelum bangkit dan muncul juara kejohanan buat kali pertama.

“Kami ada misi membalas dendam. Kami tahu Bayern pasukan yang kuat, tapi kami jauh lebih hebat berbanding ketika pertemuan pada November lalu,” kata Ousmane Dembele, yang dilayangkan kad merah dalam aksi di Munich.

“Banyak yang telah berubah dan para pemain telah meningkatkan prestasi mereka, saya sendiri juga sudah lebih baik dan kami kini sangat yakin. Kami tahu apa yang perlu dilakukan di atas padang. Kami mampu menewaskan mana-mana pasukan,” katanya,

Dembele kini antara calon utama Ballon d’Or selepas musim yang cemerlang, namun setakat ini hanya membuat penampilan sebagai pemain gantian dalam Piala Dunia Kelab.

Dia mengalami kecederaan paha ketika saingan Liga Negara-Negara pada awal Jun dan hanya turun beraksi dalam kemenangan 4-0 PSG ke atas Inter Miami yang diketuai Lionel Messi.

Dembele bagaimanapun mengesahkan dia kini cergas sepenuhnya tetapi keputusan untuk menurunkannya sebagai kesebelasan utama terletak di tangan Enrique.



Source link

OR

Scroll to Top