Atlanta: Paris Saint-Germain (PSG) membuktikan status selaku pencabar utama apabila menyingkirkan Bayern Munich 2-0 dalam aksi suku akhir Piala Kelab Dunia (CWC) 2025, walaupun menamatkan perlawanan dengan hanya sembilan pemain di Stadium Mercedes-Benz, awal pagi tadi.
Gol daripada pemain muda berbakat, Desire Doue pada minit ke-78 dan penyudah bergaya Ousmane Dembele di masa kecederaan sudah cukup untuk membawa wakil Perancis itu ke separuh akhir menentang pemenang antara Real Madrid dan Borussia Dortmund.
Bayern menerima tamparan berganda apabila dua pemain utama mereka, Josip Stanisic dan Jamal Musiala, mengalami kecederaan serius pada babak pertama. Jamal dibawa keluar dengan pengusung selepas insiden perlanggaran dengan penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma.
Jamal yang jelas kesakitan selepas insiden itu menyaksikan Donnarumma sendiri kelihatan terganggu dan terkesan dengan kecederaan dialami bintang muda Jerman itu yang dipercayai membabitkan pergelangan kaki.
PSG kemudian beraksi dengan sembilan pemain selepas Willian Pacho dilayangkan kad merah pada minit ke-82 kerana terjahan keras terhadap Thomas Muller, manakala Lucas Hernandez turut dibuang padang akibat mengasari Raphael Guerreiro dalam masa tambahan.
Namun, biarpun beraksi dengan kekurangan pemain, PSG tetap berbahaya dan Doue membuka tirai jaringan dengan rembatan leret kaki kiri selepas menerima hantaran Joao Neves, ketika Manuel Neuer tergelincir cuba menutup ruang.
Dembele menggandakan jaringan menerusi gerakan solo menakjubkan Achraf Hakimi yang menewaskan tiga pertahanan sebelum membuat lorongan untuk Dembele menyudahkan bola ke penjuru gawang tanpa mampu diselamatkan Neuer.
Bayern yang terdesak memburu gol sempat diberikan sepakan penalti oleh pengadil Anthony Taylor pada masa kecederaan, namun keputusan itu dibatalkan selepas semakan video VAR dilakukan.
PSG yang mengekalkan rekod tanpa bolos dalam kejohanan itu turut berterima kasih kepada ketangkasan Donnarumma yang melakukan lima aksi menyelamat penting termasuk menafikan percubaan Michael Olise dan Aleksandar Pavlovic dalam babak pertama.
Kemenangan ini menyaksikan PSG layak ke separuh akhir di East Rutherford, New Jersey pada Rabu, manakala Bayern pulang hampa, bukan saja kerana kekalahan tanpa jaringan tetapi turut kehilangan Jamal yang menjadi tonggak utama musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd