PARIS Saint-Germain (PSG) telahpun mengesahkan kejuaraan Ligue 1 dengan baki enam perlawanan, namun juara Perancis itu kekal dengan motivasi tinggi untuk menamatkan kempen tanpa sebarang kekalahan, kata pengendali Les Parisiens, Luis Enrique pada Jumaat menjelang pertemuan dengan Le Havre di Parc des Princes.
Les Parisiens, yang mengumpul 74 mata daripada 28 perlawanan, meraih gelaran Ligue 1 keempat berturut-turut awal bulan ini juga telah mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara serta final Piala Perancis.
Menjelang perlawanan di laman sendiri menentang Le Havre yang sedang bergelut mengelak penyingkiran, Luis Enrique menegaskan bahawa Les Parisiens tidak boleh mengambil mudah dan membiarkan standard mereka menurun jika jagoan Perancis itu berhasrat untuk menjadi pasukan pertama yang memenangi gelaran liga utama Les Bleus tanpa mencatatkan sebarang kekalahan.
“Kami sedang membuat persiapan untuk perlawanan akan datang dengan cara yang sama. Kami boleh memecahkan rekod, ia dalam genggaman pasukan..
“Ia tidak berlaku terlalu kerap, dan itulah motivasi utama kami. Kami sudahpun bergelar juara. Jika anda mahu bermain untuk PSG dan berada di sini untuk bertahun-tahun akan datang, anda perlu bermain pada tahap tertinggi pada setiap masa.
“Le Havre mempunyai kepentingan yang besar dalam perlawanan ini. Ia akan menjadi salah satu perlawanan paling sukar musim ini,” kata Luis Enrique kepada pemberita.
PSG akan mengharungi tiga perlawanan liga dalam tempoh lapan hari – menentang Le Havre, Nantes dan OGC Nice – sebelum bertemu sensasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal, dalam perlawanan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara di Stadium Emirates pada 29 April.
Ditanya mengenai kemungkinan untuk akhirnya menamatkan penantian PSG bagi kejuaraan Eropah, pengendali dari Sepanyol itu berkata: “Kami belum mencapai objektif kami lagi. Sejak kami tiba, objektif kami adalah untuk mencipta sejarah.
“Untuk mencipta sejarah, anda perlu memenangi segala-galanya, terutamanya trofi yang anda semua tahu. Kami akan memberikan segalanya yang kami ada untuk mencapai matlamat itu. Apa yang penting bagi saya ialah perjalanan untuk ke sana. Ia bergantung kepada kami…”
“Kami sudahpun menentang Arsenal pada awal musim. Kami tahu siapa yang perlu kami singkirkan. Mereka adalah salah satu pasukan terbaik di Eropah. Mereka telah berkembang dengan baik di bawah kendalian (Mikel) Arteta, mereka beraksi dengan sangat baik.”





