PSG mengganas, Real Madrid longlai

PSG mengganas, Real Madrid longlai


GERGASI Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) mara ke final Piala Dunia Kelab selepas membelasah Real Madrid 4-0 dalam aksi separuh akhir di Stadium MetLife, New Jersey pada Khamis.

Aksi cemerlang pemain tengah Sepanyol, Fabian Ruiz, yang meledak dua gol dalam separuh masa pertama, menjadi nadi kejayaan Les Parisiens untuk menempah pertemuan menentang Chelsea di pentas akhir.

Real Madrid bermula pincang apabila dua kesilapan pertahanan membenarkan PSG membuka tirai jaringan seawal sembilan minit pertama.

Kesilapan kawalan bola oleh Raul Asencio pada minit keenam memberi peluang kepada Ousmane Dembele melakukan percubaan, namun Thibaut Courtois berjaya menepisnya.

Bagaimanapun, bola muntah disambar Ruiz yang mudah menolak masuk ke gawang terbuka.

Tiga minit kemudian, satu lagi kesilapan besar menyusul apabila Antonio Ruediger gagal mengeluarkan bola dengan baik, membolehkan Dembele menyelinap masuk ke kotak penalti dan merembat gol kedua melepasi Courtois.

PSG terus menggandakan asakan dan hasilnya, Fabian Ruiz sekali lagi meledak jaringan pada minit ke-24 selepas menerima hantaran lintang Achraf Hakimi, bijak memperdaya Asencio sebelum menyudahkannya dengan tenang.

Goncalo Ramos yang masuk sebagai pemain gantian, menutup hari gemilang PSG apabila menjaringkan gol keempat tiga minit sebelum tamat permainan. melengkapkan hari malang buat Real Madrid yang langsung tidak memberi ancaman ketara ke arah gawang Gianluigi Donnarumma.

“Ini satu kemenangan luar biasa. Dalam keadaan cuaca panas terik, kami tetap menunjukkan aksi bertenaga.

“Kemenangan ini amat membanggakan kerana kami berjaya menundukkan pasukan elit seperti Real Madrid dengan cara yang cukup bergaya,” kata Ruiz yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

Percaturan taktikal Xabi Alonso nyata gagal apabila formasi empat pertahanan yang digunakan — susulan penggantungan Dean Huijsen dan kecederaan Trent Alexander-Arnold — gagal menyaingi ketajaman serangan PSG.

Real Madrid tampak goyah sejak wisel permulaan dan langsung tidak memberi saingan kepada jentera serangan PSG yang diterajui Dembele, Ruiz serta Kylian Mbappe yang kembali dalam kesebelasan utama selepas pulih daripada masalah kesihatan.

Dembele hampir membuka tirai jaringan seawal minit keempat, namun rembatan melengkungnya diselamatkan Courtois dengan satu tangkisan cemerlang. Tidak lama selepas itu, satu lagi peluang keemasan daripada Ruiz turut dinafikan penjaga gol Belgium itu.

Bagaimanapun, usaha Courtois tidak mencukupi apabila PSG pantas mendahului tiga gol dalam tempoh 24 minit pertama, malah mereka turut berpeluang menambah jaringan sebelum rehat.

Memasuki babak kedua, Real Madrid tidak melakukan sebarang pertukaran dan terus diasak oleh PSG. Desire Doue sempat menjaringkan gol, namun ia dibatalkan kerana ofsaid.

Anak buah Alonso nyata tumpul dan langsung tidak menguji Donnarumma, sebelum Ramos menambah garam ke luka dengan gol keempat.

“Permulaan perlawanan sangat menghukum kami apabila ketinggalan 0-2. Kami tahu ia akan menjadi tugas yang sangat sukar.

“Sudah tentu perasaan ketika ini sangat mengecewakan. Namun ini adalah satu proses. PSG dibina sejak dua tahun lalu, dan kami masih dalam peringkat awal.

“Saya cuma bersama pasukan ini selama tiga minggu. Hari ini kami gagal, tetapi kami akan belajar dan bangkit,” kata Alonso dalam sidang media pasca perlawanan.



Source link

OR

Scroll to Top