PSM sasar pentas final Piala Asia 2025

PSM sasar pentas final Piala Asia 2025


SKUAD negara menyasarkan untuk beraksi di pentas final pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Kuala Lumpur pada Mei depan.

Sasaran tersebut dibuat oleh Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan yang menyifatkan ia sebagai realistik.

Malah beliau berkata, pemain sudah bersedia untuk mengalas cabaran negara pada kejohanan yang dijadual berlangsung di Stadium Titiwangsa bermula 10 hingga 18 Mei.

Tambahnya, skuad sepak takraw juga telah meraih pengalaman berharga pada Piala Dunia 2025 di Bihar, India Mac lalu dan kejohanan kali ini bakal menjadi pentas kebangkitan pasukan negara.

“Persiapan para pemain ketika ini berada pada tahap 80 peratus. Barisan jurulatih sudah melakukan ‘post mortem’ dan telah mengenal pasti kelemahan.

“Barisan kejurulatihan dan para pemain juga akan duduk bersama mengatur strategi bagaimana untuk mencapai kejayaan.

“Pada kejohanan kali ini, PSM sasar untuk mara ke final terutama bagi acara regu dan double,” katanya pada sidang media selepas selesai sesi undian kejohanan tersebut di Kuala Lumpur pada Isnin.

Kejohanan yang berlangsung di laman sendiri itu juga mampu membakar semangat para pemain untuk mengulangi kejayaan pada saingan Piala Dunia 2024.

Skuad negara muncul juara berganda setelah mengungguli acara double dan regu.

“Kejohanan berlangsung di venue yang sama pada tahun lalu. Piala Dunia 2024 kita muncul juara regu dan double. Kali ini di hadapan penyokong sendiri, saya harap kejayaan sama dapat diulangi,” ujar Mohd Sumali.

Pada Piala Asia kali ini, skuad kuadron negara diundi dalam Kumpulan B bersama Filipina, Jepun dan China, manakala Kumpulan A terdiri daripada Vietnam, Singapura, Korea dan Pakistan.

Bagi acara double pula, Malaysia bakal disajikan sengit musuh tradisi yang juga juara dunia 2025, Thailand, selain Taiwan dan Nepal dalam Kumpulan B, sementara Kumpulan A disertai Indonesia, India dan Brunei.

Acara tumpuan iaitu regu pula menampilkan Malaysia dalam Kumpulan D bersama Filipina, Nepal dan Singapura.

Menanti skuad negara bagi kategori regu dalam Kumpulan B ialah Korea Selatan, Brunei dan Jepun.



Source link

OR

Scroll to Top