Antara penonton yang hadir menyaksikan Malaysia menentang Thailand dalam perlawanan akhir acara beregu Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa pada Mei lalu. (Gambar kecil: Abidullah)
PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan menyediakan kemudahan bas ulang-alik kepada penyokong yang ingin menyaksikan kejohanan Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa dari 10 hingga 18 Mei depan.
Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh berkata, inisiatif ini bertujuan memudahkan penyokong hadir ke stadium berkapasiti 2,500 penonton itu tanpa perlu berdepan kesesakan lalu lintas.
“Kehadiran peminat sepak takraw negara amat memberangsangkan semasa Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia 2024 lalu.
“Jadi, untuk Piala Asia 2025, PSM mahu menambah baik dengan menyediakan perkhidmatan shuttle bagi kelancaran pergerakan penyokong ke Stadium Titiwangsa.
“Kami akan maklumkan perincian mengenai perkhidmatan bas ulang-alik tersebut sebelum kejohanan bermula,” katanya kepada Sukan Sinar.
Stesen MRT Hospital Kuala Lumpur (HKL) merupakan stesen terdekat dengan Stadium Titiwangsa yang bersebelahan dengan Taman Tasik Titiwangsa.
PSM sebelum ini mengesahkan 15 negara akan menyertai Piala Asia 2025, selain Malaysia, turut membawa cabaran termasuk China, Pakistan, Filipina, India, Singapura, Brunei, Iraq, Myanmar, Indonesia, Vietnam, Jepun dan Taiwan.
Gergasi sepak takraw dunia seperti Thailand dan Korea Selatan juga tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam temasya kali ini.
INFO
> Piala Asia 2025 akan mempertandingkan empat acara utama iaitu regu, double, quadrant, dan berpasukan.