PSM sediakan layar gergasi luar Stadium Titiwangsa

PSM sediakan layar gergasi luar Stadium Titiwangsa


Stadium Titiwangsa, venue perlawanan akhir acara regu berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia Kuala Lumpur 2025. – FOTO: SINAR HARIAN

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) telah mengambil inisiatif dengan menyediakan layar gergasi di luar Stadium Titiwangsa pada Ahad bagi membolehkan peminat sukan tanah air menyaksikan perlawanan akhir acara regu berpasukan Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia Kuala Lumpur 2025 secara langsung.

“Tayangan secara langsung ini diadakan khusus untuk penyokong yang tidak berpeluang memperoleh tiket masuk ke dalam stadium. Ini juga memberikan peluang kepada orang ramai untuk turut serta merasai kehangatan serta semangat kesukanan yang membara dalam pertembungan epik antara pasukan kebangsaan Malaysia dan musuh tradisi, Thailand,” kata PSM dalam kenyataan mereka.

Perlawanan akhir yang dinanti-nantikan itu dijadualkan bermula pada jam 4 petang dengan jangkaan ribuan penyokong akan memberikan sokongan padu kepada skuad negara yang sedang memburu kejuaraan berprestij di pentas Asia.

Langkah menyediakan layar gergasi ini turut bertujuan untuk mempereratkan hubungan antara peminat dan pasukan negara serta menyemarakkan suasana pesta sukan di sekitar venue kejohanan.

“Orang ramai yang hadir disarankan untuk datang lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak penganjur serta pihak berkuasa tempatan,” tambah kenyataan itu.

Malaysia mara ke perlawanan akhir acara regu berpasukan selepas menewaskan India 2-0 di separuh akhir. Thailand, sebagai seteru utama, turut mara ke final selepas menewaskan Korea Selatan 2-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.



Source link

OR

Scroll to Top