Sumali bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria dan Nor Fadhilah pada majlis berkenaan.
PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) percaya kehadiran Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai sebahagian keluarga besar badan induk itu akan memacu sukan itu di pentas serantau dan global.
Malah, Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan, menyifatkan sokongan TM juga hadir tepat pada masanya ketika badan induk itu agresif memperkasakan pembangunan akar umbi.
“Kami berbangga mengalu-alukan TM sebagai rakan rasmi kami. Sokongan TM hadir pada waktu yang penting ketika kami berusaha untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam sukan sepak takraw di peringkat serantau dan global.
“Dengan penglibatan TM, kami menyasarkan untuk memberikan persembahan yang membanggakan dalam kejohanan-kejohanan akan datang dan melahirkan juara-juara masa depan,” katanya selepas majlis pertukaran dokumen PSM dan TM di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur.
Kerjasama dua tahun TM sebagai Rakan Rasmi Pasukan Sepak Takraw Kebangsaan dimeterai dalam majlis yang dihadiri Sumali dan Ketua Pegawai Korporat TM, Nor Fadhilah Mohd Ali.

Kehadiran TM membarakan lagi semangat keluarga PSM dalam memacu sukan itu ke tahap lebih tinggi.
Kerjasama strategik menyaksikan TM memainkan peranan penting dalam menyokong penyertaan skuad negara dalam kejohanan utama seperti Piala Asia 2025 di Kuala Lumpur, Sukan SEA 2025 di Bangkok, dan Piala Dunia ISTAF 2026.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris, menegaskan komitmen konglomerat berkenaan dalam pembangunan sukan tempatan dan memupuk bakat negara.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk menyokong pembangunan sukan tempatan dan memupuk bakat negara. Sepak takraw adalah sukan yang berakar umbi dalam warisan kita, dan kami berbangga dapat menyumbang kepada pertumbuhannya di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.