Reaksi kecewa Ryan Gravenberch (dua dari kanan) dan Virgil van Dijk selepas PSV menambah gol ketiga. Foto Agensi
MUSIM suram Liverpool bertambah parah pada awal pagi Khamis apabila mereka tewas 1-4 kepada PSV Eindhoven dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), sekali gus merekodkan kekalahan pertama di Anfield dalam 14 perlawanan peringkat kumpulan kejohanan elit Eropah itu.
Couhaib Driouech menjadi pemangkin utama kemenangan PSV dengan dua jaringan, manakala Ivan Perisic melalui sepakan penalti serta Guus Til turut mencatat nama sebagai penjaring.
Kejayaan itu mengangkat PSV ke tangga ke-14 UCL dengan lapan mata, manakala Liverpool yang bergelut dengan sembilan kekalahan dalam 12 aksi terakhir merentasi semua pertandingan jatuh ke kedudukan ke-12 dengan sembilan mata.
The Reds berdepan permulaan buruk apabila tindakan pelik Virgil van Dijk yang tertampan bola dengan tangan menghadiahkan penalti kepada PSV seawal minit keenam dan Perisic tenang menewaskan Giorgi Mamardashvili.
Liverpool kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-16 menerusi Dominik Szoboszlai selepas percubaan Cody Gakpo gagal digenggam kemas penjaga gol Matej Kovar, sebelum bola muntah tepat ke ruang yang disambar pemain Hungary itu.
Namun, PSV kembali di depan pada minit ke-56 apabila Til melakukan larian tepat waktunya untuk menyambut hantaran Mauro Junior, mengatasi kawalan Milos Kerkez sebelum menolak masuk melepasi Mamardashvili.
Driouech kemudian melebarkan jurang pada minit ke-73 selepas rembatan Ricardo Pepi mengenai tiang dan beliau pantas menolak bola lantun itu ke gawang.
Penyerang PSV itu menamatkan malam cemerlang dengan gol keduanya pada masa kecederaan, menyempurnakan hantaran Sergino Dest.
Pada Sabtu lalu, Liverpool dimalukan Nottingham Forest 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield.
Kekalahan terbaru ini sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Arne Slot yang dilihat bergelut dalam musim keduanya bersama The Reds.
Ringkasan AI
- Musim suram Liverpool bertambah parah dengan kekalahan 1-4 kepada PSV Eindhoven dalam Liga Juara-Juara
- Couhaib Driouech dan Ivan Perisic antara yang mencetak gol untuk PSV
- Liverpool kini di kedudukan ke-12 UCL dengan sembilan mata
- Virgil van Dijk melakukan kesalahan penalti yang menguntungkan PSV
- Kekalahan ini meningkatkan tekanan terhadap Arne Slot, pengurus Liverpool





