Pendakwah bebas PU Riz menjadi sorotan ramai apabila menghulurkan bantuan kepada keluarga kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, iaitu penunggang motosikal yang maut dirempuh pemandu mabuk dalam kejadian di Jalan Raya Barat pada Ahad lalu.
Bawa basikal dan susu
Screenshot
Menerusi perkongsian di Instagram, PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail membawa beberapa buah basikal beserta susu dan barangan keperluan asas yang lain bagi membantu sedikit sebanyak meringankan beban keluarga arwah.
“Kami bawa basikal, susu, dan beberapa perkara lain untuk disampaikan. Kita bantu mana yang boleh, nak bagi mereka gembira sedikit. Tiga basikal untuk anak-anak arwah,” kata PU Riz.
Dalam pada itu, suami kepada selebriti Noor Neelofa itu memberitahu akan menghulurkan sebarang bantuan secara berterusan selama tiga bulan buat keluarga arwah.
Screenshot
“Keperluan selama tiga bulan, kita akan bantu. Kalau ada apa-apa yang perlu puan (balu arwah) boleh beritahu dan kami akan uruskan,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, PU Riz membawa sendiri basikal tersebut menaiki beberapa anak tangga sehingga sampai ke rumah arwah biarpun keadaan kesihatan kakinya tidak berada dalam keadaan yang baik.
Tambahnya lagi, dia bersyukur apabila orang ramai begitu prihatin dengan nasib keluarga Allahyarham Amirul apabila melihat banyak bantuan dan sumbangan yang diterima.
Screenshot
Artikel lain: PU Riz sebak wanita kongsi kisah hidup ditinggal 10 anak, nasihat jangan abaikan ibu bapa
Terdahulu, semasa prosiding, Saktygaanapathy mengangguk tanda faham selepas didakwa membunuh Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat, di sini pada jam 11.47 pagi, 29 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman gantung, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.
Dalam pada itu, dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan memberikan dirinya dadah disyaki jenis Benzo dan Tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan, di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang di sini pada jam 3.30 petang tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Sumber: Instagram hrisbismail






