Puasa uji disiplin, Ziyad gandakan tekad

Puasa uji disiplin, Ziyad gandakan tekad

Puasa uji disiplin, Ziyad gandakan tekad


 

JAGUH olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli enggan menjadikan Ramadan sebagai alasan untuk menjalani latihan lebih ringan, sebaliknya menganggap ibadah puasa sebagai medan menguji tahap disiplin sebagai seorang atlet.

Sehubungan itu, pemenang emas lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) Sukan Paralimpik Rio 2016 sanggup bertukar menjadi ‘burung hantu’ untuk menjalani latihan yang berlarutan hingga awal pagi.

Enggan membiarkan intensiti latihan mengendur sepanjang bulan mulia ini, Muhammad Ziyad berkata beliau juga berasa lebih segar dan bertenaga ketika menjalani latihan pada Ramadan.

“Waktu latihan yang selalunya pada sebelah siang, kini berubah apabila saya memperuntukkan kira-kira dua jam berlatih mengangkat beban di gimnasium dari 4 hingga 6 petang.

“Selepas solat tarawih, bersambung latihan balingan pula dari 9.30 malam hingga 2 pagi. Saya mendapat rehat yang cukup pada siang hari, jadi lebih bersemangat berlatih pada bulan Ramadan,” katanya.

Masih segar dengan kejayaan membawa pulang pingat emas Sukan Para ASEAN 2025 di Korat, Thailand bulan lalu, Muhammad Ziyad kini melakukan persiapan untuk saingan kompetitif antarabangsa seterusnya, iaitu Kejohanan Olahraga Grand Prix Para Dunia 2026 di Maghribi.

Katanya, beliau berazam meneruskan momentum dari Korat dengan menyasarkan emas pada kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Olimpik Rabat bermula 23 hingga 26 April ini.

Beliau berkata kejayaan di Maghribi nanti bakal menjadi pembakar semangat sebelum turun berentap pada Sukan Para Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

Sebagai rekod, Sukan Para Asia 2026 dijadual berlangsung dari 18 hingga 24 Oktober depan.

Muhammad Ziyad merupakan pemenang emas tiga kali berturut-turut lontar peluru lelaki F20 pada Sukan Para Asia selain memegang rekod Asia dengan lontaran sejauh 17.43 meter yang dilakar di Jepun pada 2024. – Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Muhammad Ziyad Zolkefli tidak menjadikan Ramadan alasan untuk latihan lebih ringan dan anggap puasa medan uji disiplin
  • Berlatih hingga awal pagi, menjadi ‘burung hantu’ menjalani latihan intensif sepanjang Ramadan
  • Ubah waktu latihan ke petang dan malam, merasa lebih segar dan bertenaga ketika Ramadan
  • Berpersiapan untuk Kejohanan Olahraga Grand Prix Para Dunia 2026 di Maghribi setelah menang emas di Sukan Para ASEAN 2025
  • Pemenang emas tiga kali berturut-turut lontar peluru F20 di Sukan Para Asia, memegang rekod Asia dengan lontaran 17.43 meter



Source link

OR

Scroll to Top