Pukul peragut hingga mati, 8 lelaki ditahan

Pukul peragut hingga mati, 8 lelaki ditahan


hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kajang: Lelaki dipercayai warga asing maut dipukul beberapa individu selepas disyaki meragut wanita di kawasan taman perumahan berhampiran Batu 9 Cheras di sini, Selasa lalu.

Susulan itu, polis menahan lapan lelaki berusia 22 hingga 72 tahun pada 7.46 malam hari sama untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam membabitkan cubaan meragut seorang guru tadika berusia 36 tahun pada 11.10 pagi Selasa.

Namun katanya, suspek terbabit ditahan oleh orang awam dan anggota polis yang kemudiannya tiba di lokasi mendapati lelaki itu berada dalam keadaan terbaring, tidak sedarkan diri dan cedera.

Menurutnya, pasukan perubatan seterusnya mengesahkan lelaki itu meninggal dunia.

“Hasil siasatan pihak polis mengesahkan mangsa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta dipercayai warga asing.

“Lelaki itu berkulit cerah dengan ketinggian lebih kurang 160 sentimeter (cm), memakai baju t-shirt hitam dan seluar pendek berwarna hitam,” katanya, hari ini.

Naazron berkata, susulan itu pihaknya menahan lapan lelaki tempatan dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan mereka direman enam hari bermula Rabu lalu hingga Isnin untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini atau butiran lelaki itu, boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Ong Eng Yew di talian 012-6966849 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

“Polis juga menasihati masyarakat untuk sentiasa mematuhi undang-undang dalam melakukan tangkapan serta segera menghubungi pihak berkuasa bagi tindakan sewajarnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top