H: Pulanglah Hani, keluarga merinduimu…
Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my
Foto Ihsan Raja Nooriah Raja Dolah
Kota Bharu: Sudah hampir tiga minggu berlalu, namun kelibat Raja Noor Hani Raja Dolah masih gagal dikesan selepas menaiki kenderaan e-hailing kononnya ke tempat mengaji al-Quran.
Wanita berusia 27 tahun berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan itu dikatakan keluar dari rumahnya di Kampung Kubang Kacang, di sini, kira-kira 10 pagi dan tiada khabar berita.
Kakaknya, Raja Nooriah, 34, berkata ahli keluarga sudah membuat laporan polis dan usaha mengesan anak kesembilan daripada 10 beradik itu dibuat sehingga ke Johor dan Kuala Lumpur.
“Sejak Hani keluar dari rumah, dia langsung tidak berhubung malah panggilan kami tidak dapat menembusi talian.
“Sehinggalah minggu lalu, Hani ada menghubungi anak saudara menerusi WhatsApp memaklumkan dia selamat dan jangan risau.
“Bagaimana kami tak bimbang dengan keadaannya yang langsung tidak nampak dan selama ini tidak pernah ke mana-mana berseorangan, sudah pasti keluarga sangat risau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Raja Nooriah berkata, dalam hantaran di WhatsApp, Hani meminta maaf kepada ibu dan memberitahu dia bekerja di Kuala Lumpur.
Menurutnya, mereka sekeluarga tidak dimaklumkan apa pekerjaannya dan dengan siapa dia tinggal.
“Kami sangat bimbang keadaan Hani meskipun dia sudah memberitahu berada dalam keadaan selamat.
“Hani tidak pernah keluar ke mana-mana berseorangan, dan jika keluar sekali pun hanyalah membabitkan urusan persatuan OKU yang disertainya dan kelas mengaji al-Quran.
“Makan minum dan rutin hariannya selama ini, ahli keluarga yang uruskan dan mana mungkin dia mampu berdikari lebih-lebih lagi berada jauh dari keluarga,” katanya.
Menurutnya, ibunya Zalekha Hussin, 67, akan menunaikan umrah pada 15 Oktober ini dan kehilangan Hani sedikit sebanyak memberi kesan.
Katanya, keluarga merayu Hani kembali ke pangkuan keluarga dan sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubunginya di talian 018-3237221.
© New Straits Times Press (M) Bhd