am@hmetro.com.my
Larut: Polis meminta bantuan orang awam untuk mengesan seorang remaja perempuan yang dikatakan hilang selepas keluar rumah ke tempat kerjanya di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Selama Superintendan Sarudin Samah berkata, mangsa, Noraqilah Mohamad Shaharizan, 19, kali terakhir dilihat keluar dari kediamannya di Kampung Medan, Selama, pada 4.30 pagi.
Menurutnya, mangsa difahamkan berbuat demikian selepas berselisih faham dengan ibunya.
“Ibu remaja itu yang juga ibu tunggal dan berusia 40-an sudah berkali-kali menghubungi mangsa melalui telefon bimbitnya, namun tidak dapat dihubungi.
“Mangsa yang hilang berketinggian 158 sentimeter, berat 60 kilogram, berambut kerinting hitam paras bahu, dan berkulit kuning langsat,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat iaitu Ketua Polis Balai Selama, Mohd Fazli Yusof di talian 013-428 1129 atau bilik gerakan IPD Selama di talian 05-839 5999.
© New Straits Times Press (M) Bhd