Pulau Pinang: 15,822 anak penyu dilepaskan ke laut sejak 2021

Pulau Pinang: 15,822 anak penyu dilepaskan ke laut sejak 2021

Pulau Pinang: 15,822 anak penyu dilepaskan ke laut sejak 2021


BALIK PULAU : Sebanyak 15,822 ekor anak penyu berjaya ditetas dan dilepaskan semula ke laut sejak 2021 hasil usaha konservasi berterusan yang dilaksanakan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Pantai Kerachut di sini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dalam tempoh yang sama juga, sebanyak 273 pendaratan ibu penyu telah direkodkan dengan 24,357 biji telur penyu berjaya dikumpulkan.

Menurut beliau, kejayaan tersebut membuktikan bahawa usaha pemuliharaan biodiversiti marin di negeri itu mampu dilaksanakan secara konsisten walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk pencemaran dan pembangunan pesisir pantai.

“Penyu merupakan permata alam yang mempunyai nilai ekologi, pelancongan dan pendidikan yang amat tinggi kepada Pulau Pinang khususnya dalam memperkukuhkan agenda ekopelancongan negeri.

“Justeru, kerajaan negeri percaya, pembangunan dan konservasi ini tidak boleh bergerak secara berasingan,” katanya selepas menghadiri program pelepasan anak penyu sempena Jelajah CM Chow di Pantai Keracut, hari ini.

Menurut Kon Yeow, kawasan pantai di bahagian barat Pulau Pinang seperti Pantai Teluk Bahang, Pantai Teluk Ketapang, Pantai Kerachut dan Pantai Teluk Kampi dikenal pasti sebagai lokasi utama pendaratan penyu jenis Agar dan Lipas.

“Kawasan tersebut merupakan habitat sensitif yang masih bebas daripada gangguan pencahayaan berlebihan serta pencemaran bunyi yang boleh mengganggu proses pendaratan dan penetasan penyu,” katanya.

Beliau berkata, tahun 2023 merekodkan pencapaian tertinggi konservasi penyu apabila sebanyak 79 pendaratan ibu penyu direkodkan dengan 7,130 biji telur berjaya dikumpulkan dan daripada jumlah itu, sebanyak 5,168 ekor anak penyu berjaya menetas dan dilepaskan semula ke habitat asalnya.

“Bagi tahun 2025 pula, sebanyak 67 pendaratan ibu penyu direkodkan dengan 6,470 biji telur berjaya dikumpulkan dan 4,586 ekor anak penyu dilepaskan ke laut,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow memberitahu, statistik pelawat ke pusat konservasi itu juga menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan apabila seramai 154,302 pengunjung termasuk 44,951 pelawat antarabangsa direkodkan antara tahun 2021 hingga April lalu.

“Peningkatan jumlah pelawat ini membuktikan bahawa usaha konservasi bukan sahaja penting dari sudut pemuliharaan biodiversiti, malah, mampu memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan, pendidikan dan ekonomi setempat,” ujarnya.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top