Pulau Pinang sandaran Malaysia raih pingat emas Sukan SEA

Pulau Pinang sandaran Malaysia raih pingat emas Sukan SEA


ATLET snuker dan biliard dari Pulau Pinang dijangka menjadi antara sandaran utama negara untuk meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA akan datang, berikutan prestasi cemerlang mereka di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Pulau Pinang yang terkenal sebagai lubuk bakat sukan snuker dan biliard kini turut memiliki satu-satunya akademi khas di Malaysia yang berperanan sebagai pusat latihan bersepadu bagi atlet sukan tersebut.

“Kita semua tahu Pulau Pinang mempunyai atlet yang cemerlang dalam sukan snuker dan biliard.

“Untuk Sukan SEA, sememangnya kita menaruh harapan bahawa atlet Pulau Pinang akan bantu Malaysia mendapatkan pingat emas,” katanya ketika merasmikan Akademi Biliard & Snuker Wilayah Utara di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, kewujudan pusat latihan seperti itu bukan sahaja membuka peluang kepada atlet tempatan untuk menjalani latihan secara konsisten, malah menyumbang secara langsung kepada pembangunan bakat baharu.

“Kita gembira kerana ini satu-satunya akademi seperti ini di Malaysia. Dengan adanya kemudahan latihan yang khusus seperti akademi seperti ini, usaha melahirkan lebih ramai jaguh sukan ini dapat dipertingkatkan.

“Pulau Pinang juga telah menawarkan diri sebagai tuan rumah bagi Sukan SEA 2027, dan berharap sukan snuker dan biliard akan turut dipertandingkan di negeri ini, bergantung kepada keputusan jawatankuasa penganjur kelak,” ujarnya.

Mengulas mengenai pembangunan sukan tersebut, Hannah berkata, pusat latihan seperti akademi yang wujud kini membolehkan atlet berlatih secara konsisten tanpa perlu berpindah-pindah tempat, sekali gus membantu pembangunan bakat dari peringkat awal.

“Ketika ini hanya tiga atlet negara dalam sukan snuker dan biliard berada dalam Program Podium Berfasa, namun secara anggaran terdapat kira-kira 300,000 pemain aktif sukan tersebut di seluruh negara.

“Snuker dan biliard sesuai untuk semua peringkat umur, malah kita turut promosikan untuk warga emas kerana ia tidak bergantung kepada faktor cuaca,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah berkata cadangan untuk membuka lebih banyak akademi snuker di negeri-negeri lain bergantung kepada komitmen kerajaan negeri dan juga tahap keaktifan persatuan di peringkat negeri.

Hannah (lima dari kiri) menandatangani plak perasmian Akademi Biliard &Snuker Wilayah Utara di Bayan Baru pada Jumaat.

Hannah (lima dari kiri) menandatangani plak perasmian Akademi Biliard &Snuker Wilayah Utara di Bayan Baru pada Jumaat.

“Untuk wujudkan satu pusat seperti ini bukannya murah. Seperti akademi ini, Majlis Sukan Negeri (MSN) memberi peruntukan RM500,000 untuk peralatan manakala kerajaan negeri pula menyediakan RM1.3juta bagi kerja ubah suai.

“Jadi saya tak boleh janji ia akan dibuka di semua negeri,” katanya.

Menyentuh isu pelesenan pusat snuker dan biliard, beliau berkata, masih terdapat kekangan apabila sukan tersebut dikategorikan sebagai hiburan oleh sesetengah pihak berkuasa tempatan (PBT), sekali gus tertakluk kepada cukai hiburan.

“Saya telah bangkitkan isu ini kepada semua Exco Belia dan Sukan negeri, namun tindakan masih belum menyeluruh kerana bergantung kepada dasar setiap negeri dan PBT masing-masing,” katanya.

Tambah beliau, kementeriannya sentiasa bersedia memberikan sokongan dan surat pengesahan kepada pusat-pusat yang benar-benar menjalankan aktiviti sukan snuker dan biliard bagi memudahkan proses pelesenan.

Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, kerja-kerja penaiktarafan bagi projek Akdemi Biliard dan Snuker Wilayah Utara bermula sejak 2023 dan pelaksanaannya diselia oleh Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang.

“Projek ini telah berjaya disiapkan dan diserahkan kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang pada 31 Julai 2024. Kos keseluruhan projek ini berjumlah RM1.8 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.3 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Pulau Pinang melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang sementara RM500,000 disalurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui MSN bagi pembekalan peralatan termasuk meja-meja biliard dan snuker yang kita lihat hari ini,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top