Joehari (tengah) dan pucuk pimpinan FAM berdepan cabaran untuk mengembalikan semula keyakinan peminat selepas sering dihujani kritikan dan beberapa isu yang menjejaskan imej badan induk bola sepak itu. Foto FAM
KABINET baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berdepan tugas berat terutama dalam mengembalikan semula keyakinan peminat selepas sering dihujani kritikan dan beberapa isu yang menjejaskan imej badan induk bola sepak itu.
Pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, kabinet baharu FAM itu sudah tentu perlu membuktikan kemampuan mereka agar segala kepincangan yang berlaku sebelum ini tidak berulang.
“FAM perlu mengenal pasti kelemahan yang ada dan perkemaskan tadbir urus mereka dalam mencapai objektif meningkatkan dan memulihkan industri bola sepak dan juga badan induk itu sendiri.
“Ia merangkumi pelbagai perkara bukan sahaja pasukan Harimau Malaya tetapi juga untuk saingan liga kita dan perkara lain yang sering menjadi perhatian peminat.
“Exco dan Presiden FAM perlu jelas tentang tugas mereka. Peminat akan terus memerhati dan menilai tentang apa yang akan dipersembahkan oleh jawatankuasa baharu FAM ini pada masa akan datang,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, FAM telah mengumumkan barisan jawatankuasa baharu bagi penggal 2025/29 selepas berakhirnya sesi pemilihan pada Kongres FAM Ke-61 baru-baru ini.
Ia sekali gus memberikan wajah berbeza kepada FAM yang turut menerima presiden baharu iaitu Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang telah memilih untuk tidak bertanding.
Tugas berat dilihat menjadi tanggungjawab buat jawatankuasa FAM yang baharu itu terutama untuk memulihkan imej, memperbaiki prestasi Harimau Malaya, mengatasi masalah saingan liga yang agak suram selain mengelakkan isu seperti surat layang yang pernah menggegarkan badan induk bola sepak itu berulang.
Sadek berkata, skop kerja jelas perlu dirangka oleh FAM bagi memastikan segala agenda yang mahu dilakukan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
“Sebagai presiden, Datuk Joehari hanya membuat pemantauan prestasi setiap Exco. Suka tak suka, skop kerja yang jelas perlu ada agar dapat dilakukan penilaian setiap sukuan.
“Ia untuk memastikan setiap kecacatan atau kelemahan tidak ketara dalam tadbir urus untuk mencapai objektif diharapkan,” katanya.