Pupuk persefahaman agama jangan langgar syarak

Pupuk persefahaman agama jangan langgar syarak


– Advertisement –

JOHOR BAHRU: Penganjuran apa-apa aktiviti yang bertujuan untuk memupuk persefahaman antara agama dengan agama Islam mestilah tidak bertentangan dengan syarak.

– Advertisement –

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Negeri Johor (DUPNJ), Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, ia berdasarkan prinsip bahawa matlamat tidak menghalalkan cara.

Beliau merujuk terhadap beberapa aktiviti berkaitan perkara itu seperti yang tular, antaranya kejadian promosi kitab Bible di hadapan surau dan masjid yang berlaku di Melaka baru-baru ini.

“Ianya bukan sahaja dilihat sebagai satu usaha ke arah menyebarkan agama Kristian kepada penganut agama Islam bahkan boleh mengundang provokasi kepada masyarakat Muslim di negara ini.

“Begitu juga penganjuran lawatan ke kuil atau gereja secara berkala. Adakah tindakan sebegini menjadi satu usaha untuk menormalisasi dan menyamakan antara agama?” soalnya.

Sebagai contoh, katanya, ada yang mendakwa melalui lawatan tersebut mereka dapat melihat banyak persamaan antara agama Islam dan Hindu.

“Adalah menjadi tanggungjawab yang utama pihak berkuasa agama membekalkan kefahaman yang sebenar, mendalam dan kukuh berkaitan akidah, syariat dan akhlak kepada umat Islam.

“Bukannya mengajak mereka memahami agama lain dalam keadaan masyarakat yang rata-rata masih belum memahami Islam secara menyeluruh,” tegas beliau.

Beliau menyatakan perkara ini dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook DUPNJ semalam.

Selain menyifatkan kedua-dua aktiviti itu sebagai melampau, beliau turut menggesa pihak berkuasa agama untuk membanteras ajaran-ajaran sesat yang saban hari muncul seperti ajaran Millah Abraham dan selainnya.

“(Pihak berkuasa agama) Hendaklah fokus kepada bidang tugas membekalkan kefahaman Islam yang lengkap kepada masyarakat.

“Ingatlah, matlamat tidak menghalalkan cara, setiap tanggungjawab dan tindakan kita akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat nanti,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/8/2024

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top