Pusat rawatan dadah berasaskan komuniti perlu ditingkatkan

Pusat rawatan dadah berasaskan komuniti perlu ditingkatkan


khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat menyarankan agar bilangan pusat rawatan dadah berasaskan komuniti ditingkatkan bagi menjadikan perkhidmatan itu tersedia di kawasan bandar dan luar bandar.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ini kerana kapasiti dan akses pusat pemulihan yang ditubuhkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) masih lagi terhad.

Beliau berkata, pengintegrasian rawatan dadah ke dalam penjagaan kesihatan awam juga boleh dilakukan.

“(Ia) dengan cara membenarkan individu mendapatkan bantuan tanpa rasa takut terhadap stigma masyarakat atau jauh daripada tindakan undang-undang.

“Selain itu, kita boleh menawarkan pelbagai rawatan yang terbukti berkesan, termasuklah seperti rawatan berbantukan ubat (MAT), terapi tingkah laku kognitif dan menyediakan perkhidmatan kaunseling keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Lam Thye berkata, kerajaan juga seharusnya melabur dalam teknologi pengawasan moden seperti dron, pengesan deria dan analitik data untuk memantau serta memintas penghantaran dadah di sepanjang sempadan darat dan laut negara ini.

“Kerjasama dengan negara jiran Thailand, Indonesia dan Singapura boleh memudahkan perkongsian risikan dan operasi bersama untuk membongkar sindiket dadah,” katanya.

Menurutnya, walaupun negara ini mempunyai antara undang-undang dadah yang paling ketat dengan hukuman yang keras tetapi tindakan menghukum sahaja tidak mencukupi.

“Kita memerlukan pembaharuan progresif yang boleh memberi tumpuan antara membezakan pengguna dadah dan pengedar dadah.

“Yang pertama harus diberi peluang untuk pemulihan dan yang kedua harus dihadapkan ke muka pengadilan sepantas mungkin.

“Kita harus mengukuhkan agensi penguatkuasaan undang-undang kita untuk membolehkan mereka menjejaki dan menutup pasaran dadah dalam talian dan sistem pembayaran digital yang digunakan oleh pengedar.

“Perjalanan ini mencabar tetapi dengan komitmen berterusan, inovasi dan belas kasihan, Malaysia yang bebas daripada dadah akan dapat dicapai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top